Cubaan empat lelaki mencuri seekor lembu dengan menyumbat haiwan jenis Brahman itu ke dalam kereta jenis Honda Civic gagal apabila tiga daripada mereka diberkas polis pada Khamis.

Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, suspek cuba melarikan lembu dari kandang dekat Jalan Sungai Lokan, Butterworth, namun disedari pemilik kandang selepas terdengar salakan anjing di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lelaki berusia 52 tahun itu nampak empat suspek dengan dua kereta cuba melarikan lembu miliknya.

Suspek dilihat menyumpit ubat pelali ke arah dua ekor lembu di kandang terbabit, namun hanya sempat menyumbat seekor lembu jenis Brahman ke dalam kereta tersebut dan melarikan diri.

Pemilik lembu itu kemudian mengejar kereta dinaiki suspek, menyebabkan kenderaan mereka terlanggar besi longkang lalu terbabas.

Noorzainy berkata, penternak lembu kemudiannya berjaya menahan suspek dan menyerahkan kesemua mereka yang berusia 24 hingga 26 tahun kepada polis untuk siasatan lanjut.

Foto PDRM

Ketiga-tiga suspek yang cedera dihantar ke Hospital Kepala Batas bagi tujuan rawatan dan direman polis.

Seorang lagi suspek berjaya melarikan diri dan kini sedang dikesan polis.

Siasatan mendapati salah seorang daripada tiga suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.