ADA beberapa perkara yang mengganggu fikiran Ahmad Ashraff Haiqal Ahmad Zakki, anak muda bakal doktor berusia 20 tahun apabila pulang seketika daripada Rusia ke tanah air pada 19 Julai 2020, semasa COVID-19 berada di kemuncak penularannya.

Perkara itu termasuk perasaan cemas dengan pola penularan COVID-19 di Rusia, yang semestinya berpotensi mengganggu pendekatan pembelajarannya dalam bidang perubatan di negara bekas Soviet itu.

Tetapi, turut mengganggu beliau ialah persepsi tidak tepat kalangan banyak orang di Malaysia tentang negara Rusia itu sendiri.

Buku ini tentang semuanya mengenai Rusia, cemas pelajar Malaysia berdepan ketika Covid-19 melanda negara itu dan cinta penulis kepada ilmu perubatan di Rusia. - Gambar Astro AWANI


"Perkara yang mengganggu ini saya cuba bawa untuk pembetulan dan dipersembahkan pula ke dalam naskhah, buku pertama saya tentang Senandika Cinta & Korona di Rusia,'' kata Ahmad Ashraff Haiqal kepada Astro AWANI ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, apabila disebut Rusia, apa yang biasa terbayang dan dikaitkan cuma gadis-gadis cantik dan hanya pandai bersosial.

Tidak kurang, katanya, Rusia dikaitkan dengan masyarakat yang sombong, tidak peramah dan enggan menerima baik pelancong asing.

"Semua itu mungkin betul tetapi bukan 100 peratus tepat kerana apabila bertemu, beramah-mesra dan mempelajari bahasa mereka, warga Rusia sebenarnya tidak seperti digambarkan. Ada sebabnya mereka bertindak demikian.

"Dakwaan mereka kurang senyum misalnya, sejarah menjadikan mereka sedemikian memandangkan Rusia terlibat dengan begitu banyak perang, terjebak dengan kebuluran, menyebabkan mereka ambil serius tentang semua hal.

"Seperkara lagi, menjadi budaya mereka tidak akan senyum kepada mana-mana individu tidak dikenali kerana dikatakan mengejek, tetapi apabila sudah mula mesra mereka akan menjadi peramah dan mesra,'' ujar Ahmad Ashraff Haiqal.

Semua naratif kurang tepat mengikut perspektif Barat ini tetapi cuba diperbetulkan, kata beliau, ditumpahkan dalam buku setebal 213 halaman berwarna penuh.

Pelajar Tahun Tiga bidang Perubatan di Volgograd State Medical University (VSMU), Rusia, ini berkata, tiga tema, yang asalnya mengganggu fikirannya, digabungkan dalam buku yang bersifat novel informatif ini dengan latar Rusia sebagai plot penceritaan.

Persepsi tidak tepat mengenai warga Rusia cuba diperbetulkan penulis buku Senandika Cinta & Korona di Rusia, Ahmad Ashraff Haiqal. Penulis bersama guru Rusia yang peramah, Olga Petrovna. - Gambar Astro AWANI

Selain Rusia, tema COVID-19 juga turut diketengahkan memandangkan Rusia, pada satu ketika menjadi negara kedua di dunia selepas Amerika Syarikat yang mencatatkan kes tertinggi wabak berkenaan.

"Penceritaan semula saya serta rakan-rakan jurusan Perubatan di universiti lain di Rusia mengimbau perasaan berdepan sekatan COVID-19, berpuasa selama 18 jam semasa cuaca panas, berhari raya tidak ke mana-mana kerana lockdown, rungutan pelajar Malaysia yang positif COVID-19 dikuarantin dan dihidangkan dengan makanan tidak diketahui halal haram serta bantuan Kedutaan Malaysia di Rusia menangani semua permasalahan pelajar dikongsi dalam buku ini."

Tambah beliau, berbanding buku lain tentang Rusia yang berada di pasaran, matlamat penghasilan Senandika Cinta & Korona di Rusia ialah menawarkan panduan lengkap bagaimana sesudah pandangan bertukar tentang negara ini, ada kebarangkalian untuk memasukkan Rusia sebagai sebuah negara berpotensi dilawati.

Justeru itu, info mengenai empat musim di Rusia, panduan memilih tempat tinggal, di mana mencari makanan halal, tempat ibadat serta lokasi menarik wajib untuk dikunjungi disenaraikan di dalam buku ini.

Tema mengenai cinta kepada ilmu perubatan, Covid-19 di Rusia dan segalanya tentang Rusia dimuatkan dalam buku berjudul Senandika Cinta & Korona di Rusia tulisan anak muda bakal doktor, Ahmad Ashraff Haiqal. - Gambar Astro AWANI

"Rusia sebenarnya bukan sebuah negara yang perlu dijauhi, banyak sebenarnya yang molek dan indah tentang Rusia. Masyarakat Rusia sebenarnya sangat mengalu-alukan pelancong asing, teringin mengetahui budaya negara lain seperti Malaysia dan menerima baik Islam dan orang-orang Muslim. Ini dapatan saya sepanjang berada di Rusia berjihad mendalami ilmu perubatan di negara berkenaan.

"Dapatan yang saya peroleh itu diharap dapat disebar luas seterusnya berupaya menukar sudut pandang masyarakat tentang Rusia," ujarnya.

Bukan itu sahaja, katanya, di bab khusus dalam buku ini, terdapat perkongsian bagaimana Rusia, sebagai sebuah negara maju, boleh dijadikan tempat menimba ilmu pengetahuan dalam bidang perubatan dan kejuruteraan.

"Kita tahu ada banyak yang skeptikal tentang pendidikan dan perubatan di Rusia, tetapi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang minat mendalam mahu menjadi doktor suatu hari nanti, boleh mempertimbangkan Rusia sebagai tempat menimba ilmu memandangkan kosnya sedikit murah serta kelebihannya dengan pendedahan pantas kepada kemajuan serta kecanggihan teknologi dan peradabannya,'' kata Ahmad Ashraff Haiqal.

Bab 7 dengan judul "Apa Rasanya Menjadi Budak Medic" memperincikan bagaimana jalannya untuk menjadi pelajar bidang perubatan di Rusia, yang bermula dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mengikuti Asasi, kemudian mempelajari bahasa dibekalkan pengetahuan serta pendedahan kepada survival skil di sana sehingga kepada perbezaan pembelajaran di Rusia.  

Senandika Cinta & Korona di Rusia, sebuah buku genre perubatan di Rusia, diserahkan untuk bacaan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dua hari selepas ia diterbitkan. - Gambar Astro AWANI

Dua hari selepas buku ini disiapkan, satu naskhah Senandika Cinta & Korona di Rusia, diserahkan untuk bacaan bekas Perdana Menteri yang juga doktor terkemuka, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Dalam buku dan ucapan-ucapannya, Tun Dr Mahatir banyak memberi inspirasi kepada golongan muda, tanpa terkecuali saya, tentang banyak perkara, tetapi paling diingati tentulah nasihat mengenai hal-hal perubatan dan kedoktoran, kerana itu, saya berbesar hati jika Tun Dr Mahathir membaca buku berkenaan,'' kata Ahmad Ashraff Haiqal.

Buku ini sesuai untuk bacaan umum golongan dewasa yang meminati aktiviti pengembaraan dan kumpulan pelajar yang berminat dengan ilmu perubatan mahu mengejar cita-cita menjadi doktor pada satu hari nanti.

Buku berwarna penuh setebal 213 halaman ini juga sudah mula masuk pasaran awal bulan ini dan kini diletakkan di rak-rak perpustakaan awam di seluruh negara.