MALAYSIA

Cubaan sabotaj Program Selawat dan Munajat Perdana Polis KL dikesan

Yasmin Natasha 06/11/2025 | 05:31 MYT
Polis Kuala Lumpur menjemput orang ramai untuk hadir memeriahkan program berkenaan yang juga boleh diikuti secara dalam talian melalui laman Facebook rasminya. - Foto FB PDRM
KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur memaklumkan bahawa terdapat cubaan sabotaj oleh individu tidak bertanggungjawab bagi menggagalkan penganjuran Program Selawat dan Munajat Perdana Polis Kuala Lumpur 1447H/2025M yang dijadualkan berlangsung esok.

Dalam satu kenyataan, pihak Polis Kuala Lumpur menegaskan hebahan yang tular di media sosial berkenaan pembatalan atau penggagalan program berkenaan adalah berita palsu.

“Program Selawat dan Munajat Perdana akan berlangsung seperti dijadualkan. Orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan maklumat palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Program tersebut dijadualkan berlangsung pada 7 November 2025 (Jumaat) di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur yang akan bermula 5.15 petang hingga selesai

Polis Kuala Lumpur turut menjemput orang ramai hadir memeriahkan program berkenaan.

Bagi mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal, siaran langsung boleh diikuti melalui Facebook Rasmi Polis Kuala Lumpur di pautan: http://facebook.com/PolisKL



#Polis Kuala Lumpur #cubaan sabotaj #Program Selawat dan Munajat Perdana Polis Kuala Lumpur #e-mel palsu