[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Cubaan seludup keluar 33 PATI gagal, tekong warga tempatan ditahan

Bernama 12/09/2025 | 15:00 MYT
Abdul Muhaimin (kiri) bercakap pada sidang media mengenai tangkapan tekong tempatan cuba menyeludup keluar 33 orang PATI di Ibu Pejabat APMM Negeri Selangor hari ini. - Gambar Bernama
KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor mematahkan cubaan seorang tekong warga tempatan menyeludup keluar 33 pendatang asing, selepas bot fiber yang dinaiki berjaya dipintas di perairan Tanjong Karang, malam tadi.

Pengarah Maritim Selangor Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata bot tanpa nombor pendaftaran dinaiki warga Indonesia itu, dikesan pada pukul 11.20 malam hasil risikan dan maklumat orang awam sebelum pasukan rondaan di bawah Op Ehsan, Op Tiris dan Op Patkor Optima Malindo 32/25 digerakkan ke lokasi.

"Pegawai dan anggota yang terlibat terpaksa mengejar bot berkenaan kira-kira 10 minit kerana enggan berhenti, walaupun sudah diarahkan. Selepas menyedari tiada peluang untuk melarikan diri, bot berkenaan berhenti dan diberkas sekitar 5.5 batu nautika barat Tanjong Karang.

"Pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan dinaiki 21 lelaki berusia 22 hingga 50 tahun termasuk seorang kanak-kanak 11 tahun, diikuti 12 wanita berusia 25 hingga 63 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan 10 tahun yang duduk secara berhimpit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua penumpang ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana cubaan keluar melalui laluan tidak diwartakan.

Dalam pada itu, Abdul Muhaimin berkata tekong warga tempatan berusia 27 tahun yang mengendalikan bot berkenaan turut ditahan dan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Beliau berkata risikan dan siasatan setakat ini tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa bot berkenaan ada kaitan dengan mana-mana sindiket penyeludupan, sama ada masuk atau keluar membabitkan sempadan Malaysia dan Indonesia.

"Risikan Maritim Malaysia sebenarnya telah bermula dari darat sebelum diteruskan ke laut, rata-rata warga asing yang menggunakan khidmat seperti ini, tidak terhad kepada mereka yang bekerja di Selangor tetapi datang dari seluruh Malaysia termasuk Johor, Perak dan Terengganu," katanya.

Beliau berkata hasil risikan juga mendapati setiap penumpang biasanya dikenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM3,500 untuk keluar atau masuk ke Malaysia bergantung kepada jenis bot dan jarak perjalanan.

Abdul Muhaimin berkata pihaknya akan kekal agresif melaksanakan operasi penguatkuasaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berhubung sebarang kegiatan mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam atau 013-6606652.

-- BERNAMA


#Akta Imigresen #pendatang asing #talian kecemasan #hasil risikan