KUALA TERENGGANU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan semula pelaksanaan skim MySTEP kepada pegawai pemantau harga (PPH), yang berkhidmat di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Presiden CUEPACS Datuk Adnan Mat berkata pihaknya membantah pelaksanaan skim itu, yang dilihat akan menjejaskan kualiti kehidupan PPH, kerana jurang gaji yang jauh lebih rendah berbanding skim kontrak untuk perkhidmatan (CFS) yang dinikmati ketika ini.

"Atas pengalaman pemantau harga yang telah pun berkhidmat lebih 18 tahun, sudah pastilah memberi komitmen tinggi dalam perkhidmatan mereka sebelum ini.

"Mereka telah pun ada tanggungan tertentu dengan sistem gaji di bawah CFS sebelum ini. Jadi, langkah menurunkan mereka kepada skim MySTEP akan memberi kesan ekonomi dan sosial yang teruk kepada 18,000 pekerja ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Syawal Ceria MADANI CUEPACS Negeri Terengganu di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan skim MySTEP juga menghilangkan banyak aspek kebajikan yang dinikmati PPH berbanding skim CFS pada masa ini.

"Banyak faedah akan hilang seperti cuti rehat, kemudahan perubatan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Pekerja (PERKESO)," katanya.

Sehubungan itu, Adnan berkata CUEPACS mencadangkan supaya kerajaan memberikan status perjawatan tetap kepada PPH, atau sekurang-kurangnya ditambah baik kepada skim kontrak perkhidmatan (COS).

"PPH telah berkhidmat dengan penuh dedikasi selama hampir dua dekad dalam memastikan kestabilan harga barang di negara ini. Justeru, mereka wajar diberikan pengiktirafan dan jaminan kerjaya yang lebih baik sebagai penghargaan atas sumbangan mereka kepada negara.

"CUEPACS menegaskan bahawa sebarang bentuk perubahan dalam status perjawatan PPH mestilah mengambil kira kepentingan kebajikan pekerja, termasuk jaminan pekerjaan, kenaikan gaji, faedah kebajikan, serta perlindungan KWSP dan PERKESO," katanya.

-- BERNAMA