MALAYSIA

Cuepacs ingatkan penjawat awam urus kenaikan gaji secara berhemat, berdisiplin

Bernama 05/01/2026 | 12:15 MYT
Adnan berkata kenaikan gaji penjawat awam merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan besar kerajaan terhadap sumbangan serta komitmen warga perkhidmatan awam. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Penjawat awam diingatkan agar menguruskan kenaikan gaji yang diterima secara berhemat dan berdisiplin di samping terus meningkatkan prestasi perkhidmatan kepada rakyat.


Ringkasan AI
  • Penjawat awam disarankan untuk menguruskan kenaikan gaji dengan berhemat dan berdisiplin serta terus meningkatkan prestasi perkhidmatan kepada rakyat.
  • Kenaikan gaji penjawat awam dianggap sebagai penghargaan besar kerajaan terhadap sumbangan dan komitmen mereka dalam menyediakan perkhidmatan cekap dan berintegriti.
  • CUEPACS menasihatkan agar penjawat awam menguruskan pendapatan dengan bijak, menjaga keperluan asas keluarga, serta mengekalkan disiplin kewangan jangka panjang untuk elak tekanan kewangan.


Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat berkata kenaikan gaji penjawat awam merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan besar kerajaan terhadap sumbangan serta komitmen warga perkhidmatan awam dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan yang cekap dan berintegriti.

Beliau berkata CUEPACS mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pelaksanaan kenaikan gaji berkenaan dibuat berdasarkan kemampuan kewangan negara dengan implikasi perbelanjaan keseluruhan dianggar berjumlah RM18 bilion.

"CUEPACS menasihatkan agar penjawat awam menguruskan peningkatan pendapatan secara berhemat dan berdisiplin, dengan mengutamakan keperluan asas isi rumah serta perancangan kewangan jangka panjang.

"Kenaikan pendapatan seharusnya tidak mendorong kepada perbelanjaan berlebihan yang akhirnya memberi tekanan kewangan kepada individu dan keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Adnan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas komitmen berterusan menjaga kebajikan penjawat awam termasuk kenaikan gaji fasa kedua sebanyak tujuh peratus bulan ini menerusi pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

"Langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan penjawat awam seiring dengan tanggungjawab fiskal negara.

"Sebagai balasan kepada kepercayaan dan pelaburan besar kerajaan ini, CUEPACS berharap agar penjawat awam terus meningkatkan prestasi kerja, memperkukuh integriti, mempertingkatkan produktiviti, serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira latar belakang," katanya.

CUEPACS juga menyeru warga perkhidmatan awam untuk terus menyokong agenda reformasi perkhidmatan awam dan menzahirkan kesetiaan kepada Kerajaan MADANI dalam usaha membina negara yang lebih mampan, adil dan sejahtera.

Penjawat awam yang memilih SSPA bakal menerima pelarasan gaji fasa kedua di bawah sistem itu pada pembayaran gaji 22 Jan ini dengan kenaikan dikira berdasarkan gaji akhir 31 Dis 2025.

Pada fasa satu pelarasan gaji, Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional menerima kenaikan lapan peratus, manakala Kumpulan Pengurusan Tertinggi empat peratus yang dibayar pada Dis 2024.

Terdahulu, Anwar ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun 2026 berkata kualiti perkhidmatan awam perlu selari dengan pelaksanaan SSPA yang telah diperbaiki kerana rakyat berhak mendapat perkhidmatan yang lebih cekap dan pantas.

-- BERNAMA

#penjawat awam #SSPA #cuepacs #integriti