IPOH: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) meminta kerajaan mempertimbangkan bonus kepada penjawat awam melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada Belanjawan 2022 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat 29 Okt ini.

Presidennya Adnan Mat berkata perkara itu perlu menjadi antara fokus pada belanjawan kali ini memandangkan keadaan rakyat yang sedang berdepan situasi sukar susulan pandemik COVID-19.

"Kami tahu situasi pandemik di luar sana tetapi pada masa yang sama kami juga perlukan penghargaan daripada kerajaan kerana kami sudah memberikan perkhidmatan walaupun kerajaan berubah, kami terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Sahsiah Murni 'Jom Derma Darah' sempena sambutan kemerdekaan, penubuhan Hari Malaysia dan ulang tahun Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) ke-58 di sini pada Khamis.

Justeru, Adnan berkata pihaknya menuntut pertimbangan luar biasa pada kali ini dengan memberi bonus dan bukan lagi bantuan khas kewangan sebanyak RM500 sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut mengusulkan cadangan agar 35,000 penjawat awam di pelbagai jabatan berstatus kontrak yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun untuk diserap masuk ke jawatan tetap secara 'one-off'.

Adnan turut meminta kerajaan mempertimbangkan supaya cuti tahunan penjawat awam yang tidak dapat dihabiskan susulan pandemik COVID-19 tidak dilupuskan tetapi dibayar sebagai 'token' (tanda hadiah) selain ditambah dalam cuti rehat.

"Kerajaan boleh mengambil contoh negara Singapura yang cuti ini telah dibayar bagi tempoh yang tidak dapat dihabiskan," katanya.

-- BERNAMA