KUALA LUMPUR: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) wajar memberi ruang kepada Perdana Menteri untuk melihat secara menyeluruh mengenai tuntutan yang dikemukakan khususnya berkaitan kenaikan gaji dan kadar elaun penjawat awam, tegas Kesatuan Kakitangan Am, Universiti Putra Malaysia (KEPERTAMA).

Presiden KEPERTAMA, Norsyahriman Md Arif berkata, umum mengetahui Anwar baharu sahaja tiga bulan diberi mandat sebagai Perdana Menteri.

Sehubungan itu, beliau terkilan dengan kenyataan Presiden Cuepacs yang menzahirkan kekecewaan terhadap Belanjawan 2023, di mana ia dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini.

"Pastinya banyak perkara penting yang perlu dilihat serentak dan diperhalusi dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat.

"Secara logiknya mana mungkin bayi yang berusia tiga bulan, kita mengharapkan dia sudah boleh berjalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebaliknya Norsyahriman menyifatkan Belanjawan 2023 itu sebagai ‘antibiotik’ awal ke arah proses penyembuhan dan penyegaran prestasi ekonomi negara.

“KEPERTAMA amat bersyukur kerana bagi menzahirkan penghargaan dan pengorbanan penjawat awam, pihak kerajaan telah bersetuju untuk menyalurkan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak, selain RM350 kepada pesara,” katanya.

Menurutnya, walaupun harapan KEPERTAMA tertumpu kepada kenaikan gaji dan elaun penjawat awam, pihaknya memahami situasi kerajaan yang kini sedang bergelut dengan jumlah hutang negara mencecah angka RM1.1 trilion.

Bagaimanapun, kesatuan tersebut yakin dan percaya pengalaman luas serta kewibawaan Anwar dalam menangani krisis ekonomi negara akan membuahkan hasil yang menggembirakan seluruh rakyat Malaysia sedikit masa lagi. - DagangNews.com