MALAYSIA
CUEPACS sambut baik penyasaran subsidi petrol RON95

CUEPACS menyambut baik langkah kerajaan dalam usaha melaksanakan penstrukturan semula subsidi RON95 dengan pendekatan lebih bersasar. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Langkah penyasaran subsidi petrol RON95 diyakini dapat memastikan manfaat subsidi terus sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, termasuk majoriti penjawat awam yang berada dalam kategori B40 dan M40, menurut Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, dari sudut jangka panjang, rasionalisasi subsidi juga penting untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara, membolehkan kerajaan menyalurkan peruntukan tambahan kepada sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan dan kebajikan penjawat awam.
"CUEPACS menyambut baik langkah kerajaan dalam usaha melaksanakan penstrukturan semula subsidi RON95 dengan pendekatan lebih bersasar.
"Sebagai kesatuan induk yang mewakili lebih 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara, kami memandang serius implikasi pelaksanaan dasar ini terhadap kesejahteraan pekerja sektor awam serta keberlangsungan ekonomi negara," menurut kenyataan itu.Beliau berkata, CUEPACS juga menekankan kepentingan komunikasi yang jelas dan telus kepada seluruh rakyat supaya pelaksanaan dasar itu dapat difahami dan diterima dengan baik, seterusnya menyumbang kepada kejayaan agenda kerajaan dalam membina ekonomi yang lebih mampan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa 30 Sept ini menerusi penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.
Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pendaftaran Negara, lebih 16 juta rakyat Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami