CAMERON HIGHLANDS: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar semua kelulusan projek pembangunan di Cameron Highlands ditangguhkan sementara, ketika ini.

Baginda bertitah agar semua projek terutama membabitkan pertanian dan penternakan, sama ada yang telah atau akan diberikan kelulusan membabitkan kawasan tanah tinggi itu untuk dikaji semula.

Titah Al-Sultan Abdullah, Baginda tidak mahu kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lalu dan insiden banjir lumpur di Kampung Raja, Cameron Highlands, berulang kembali.

Baginda bertitah, ketika ini, banyak projek baharu terutama aktiviti pertanian dikesan dijalankan di kawasan bukit di Cameron Highlands hingga menimbulkan kemusykilan sama ada ia dilakukan secara sah atau tanpa kelulusan.

"Maka buat sementara saya harap, buat sementara, kaji semula, kalau perlu ditangguhkan semua kelulusan untuk kawasan di daerah Cameron Highlands buat sementara ini, di bukit-bukit yang tinggi. Ini saranan saya , ini titah saya. 'Enough is enough (cukup-cukuplah)' saya cakap," titah baginda.
 
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas mendengar taklimat solusi banjir lumpur Kampung Baru, Kampung Raja dekat sini yang disampaikan Pegawai Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman pada Jumaat.

Selain itu, baginda turut berkenan menyantuni dan mengurniakan sumbangan peribadi kepada 21 keluarga yang terjejas teruk akibat banjir lumpur di Kampung Raja Disember lalu.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan pihak berkuasa negeri agar lebih teliti dalam memberi kelulusan terhadap mana-mana projek bagi dijalankan di Cameron Highlands.

Titah baginda pihak berkuasa negeri harus turun padang dan melakukan tinjauan melalui kaedah moden dan tidak hanya bergantung kepada peta semata-mata dalam mendapatkan sebarang penilaian.

"Kita tak nampak daripada jauh. Kalau di Pejabat Daerah tak nampak mata air di Kampung Raja ataupun di Kampung Terlak.  

"Kena turun padang, kena lihat sendiri. Jangan dengan berdasar kepada peta saja semata-mata. Maka sebab itu saya mencadangkan supaya pihak menteri besar, pegawai daerah, pegawai tanah, tinjau melalui helikopter dan guna segala teknologi yang ada sekarang. sudah ada dron pun, gunakan kaedah-kaedah moden ini untuk peninjauan," titah baginda lagi.