GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti identiti beberapa suspek rakyat tempatan yang disyaki terlibat dalam kes penculikan ejen kosmetik Rosnazirah Mohd Naima atau Azi, pada 13 September lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, buat masa ini, usaha menjejaki suspek berkenaan sedang giat dilakukan.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengumpul keterangan yang relevan untuk disalurkan kepada pihak berkuasa Thailand sebelum tindakan lanjut diambil kedua-dua negara.

''Kita percaya dua atau tiga orang  suspek kes merupakan rakyat negara kita dan usaha kenal pasti identiti mereka sedang dilakukan walaupun secara rawaknya kita sudah dapat kenal pasti identiti itu, tetapi beri sedikit masa lagi untuk kita kumpul keterangan yang relevan dan akan dikongsikan dengan rakan sejawat kita di negara Thailand,” kata Acryl Sani.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Marin Ke-75 di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Batu Uban, di sini, pada Selasa.

Dalam masa sama, Acryl Sani berkata, PDRM juga sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar di sebalik kejadian Azi diculik.

Polis sebelum ini, menahan tujuh lelaki warga tempatan ditahan di Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga akan memohon ekstradisi mengikut undang-undang terhadap tangkapan suspek yang terlibat.

"Dalam hal ekstradisi, akan kita pohon secara undang-undang dan kita percaya ada dua atau tiga  lagi suspek rakyat negara kita yang kita percaya mempunyai kaitan dengan kes ini.

“Tetapi buat masa ini, pihak PDRM masih lagi menjalankan siasatan dan akan gunakan segala kekuatan kita untuk pastikan motif sebenar kes ini dan kita mohon supaya pihak media bersabar dan beri sedikit masa lagi supaya kita betul betul 'establish' motif sebenar mangsa dilarikan," kata  beliau lagi.

Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, kejayaan membawa pulang mangsa menunjukkan kerjasama rapat yang telah terjalin di antara pihak PDRM dengan pasukan polis Thailand.

Pada Isnin, Azi dibawa pulang ke pangkuan keluarganya di Jalan Kelochor, Kota Bharu, Kelantan selepas dikurung penculik lebih 14 hari di Thailand .

Pada 13 September lepas, Azi dilarikan empat individu dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Tumpat Kelantan.

Mangsa dikatakan dibawa lari ke Thailand oleh kumpulan kartel yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah di negara jiran itu.