Manusia dianugerahkan rasa cinta dan berahi sebagai nikmat berharga daripada Illahi. Namun itu bukan lessen untuk kamu berlaku curang. Benarkah berlaku curang sesuatu yang hanya sinonim dengan lelaki? Sungguhkah ia tabiat nakal yang memberi kepuasan? Apakah ia satu penyakit kejiwaan? Sejujurnya cinta membuat kita ketawa. Cinta juga membuat kita merana. Kecurangan pasangan menjadi racun rumahtangga, meruntuhkan istana bahagia serta meranapkan impian indah yang dicitacitakan hingga akhir hayat. Curang dan cinta terlarang mengundang pelbagai citra duka. Mencurangi Pasangan Sesetengah lelaki berkahwin pada usia
terlalu muda (bawah 24 tahun) dan ketika itu pekerjaan dan kedudukan kewangan belum stabil. Mungkin selepas 15 atau 20 tahun, ekonomi mereka semakin kukuh serta ada status dalam masyarakat. Keadaan ini mendorong mereka menikmati keseronokan hidup yang tidak dinikmati semasa muda. Antaranya menjalin hubungan dengan gadis lebih muda dan ‘bergetah’. Ada juga lelaki curang kerana ingin menunjukkan kepada teman-teman kehebatannya yang mampu bertukar-tukar pasangan.Wanita curang kerana didorong rasa kecewa kerana suami mencurangi mereka. Mungkin si isteri meluahkan kekecewaan yang terpendam kepada rakan lelaki (mungkin kawan baik atau rakan sekerja) mengenai masalah rumahtangga yang dihadapinya bagi meredakan tekanan. Malangnya, akibat sering
berkongsi rahsia, bercambah pula bibit cinta antara mereka dan akhirnya berakhir dengan skandal yang boleh meruntuhkan perkahwinan yang sudah berbelas-belas tahun dibina. Punca curang terlalu rencam dan sukar diatasi sekelip mata. Hanya satu sahaja yang boleh menghalang kecurangan – elakkan membanding-bandingkan pasangan kita dengan pasangan orang lain. Terima kelemahan mereka dan hargai kelebihan mereka. Jika hati kita tergoda atau digoda, cuba tepis dorongan ini dengan mencari kebaikan pasangan kita. Usah tunduk kepada serakah nafsu, limpahan kemewahan harta benda atau pangkat semata-mata sehingga boleh mencalarkan hati pasangan kita serta meruntuhkan masjid dibina. Bagaimana Ia Boleh Terjadi? Curang ialah satu petanda perhubungan atau perkahwinan bermasalah. Hubungan yang kurang intim, tidak mesra dan tidak bermaya mendorong kepada kecurangan. Pasangan mulai mencari ‘tempat’ atau orang lain untuk mendapatkan kemesraan dan keintiman yang didahagakan.
Pasangan boleh berpaling arah hanya kerana anger atau passive aggression. Perasaan tercalar dipendam sekian lama, marah menjadi api di dalam sekam, ini memutik kepada keinginan mencari keseronokan demi membalas dendam. Lazimnya hubungan begini tidak berlarutan atau mendalam. Pasangan yang curang sekadar mencari nikmat membalas dendam, meluahkan perasaan terbuku di dada dan demi keseronokkan. Dan, perbuatan ini mampu dihentikan serta-merta apabila pasangannya mengetahui berlaku kecurangan.
Perasaan puas tercapai apabila ‘isyarat’ itu sampai dan si curang berharap ada perubahan dan perbincangan yang berlaku dari hati ke hati demi memperbaiki perhubungan yang tidak bermaya. Kecurangan lain yang berlaku ada yang bersifat habitual, ia memang sering berlaku berulang-ulang. Masalah curang yang sesekali berlaku lazimnya berpunca daripada dorongan, cabaran atau teman sekeliling yang merangsang melakukannya.
Curang Itu Satu Penyakit
Dari sudut kejiwaan orang yang curang tidak dianggap ‘sakit’. peratusan mereka yang mengalami tekanan jiwa dan bertindak curang amat kecil. Tetapi ada pesakit yang mengalami Bipolar Disorder, sehingga gagal mengawal nafsu, keghairahan dan keinginan yang mendadak mendorong mereka mencari pasangan seks di luar ikatan perkahwinan. Sewaktu serangan berlaku, graf diri mereka meningkat dari semua sudut, fasa mania menyebabkan mereka curang apabila pasangan gagal menyempurnakan khayalan seksnya.
Kesan Kepada Anak
Kesan memang ada kepada anak. Dek ibu bapa yang sibuk bertengkar, ramai terlupa kesannya kepada anak. Ibu atau bapa curang tetap memberi kesan besar pada psikologi anak. Jangan biarkan anak murung berpanjangan hanya kerana keseronokan sementara. Kemurungan itu sebenarnya satu penyakit. Anak yang sedih boleh dipujuk dan digembirakan hatinya, tetapi apabila kemurungan berlaku, ia selalunya berpanjangan dan mereka memerlukan rawatan kejiwaan. Tidak salah memaafkan pasangan curang jikalau ia membawa cahaya kepada wajah anak. Apakah kita mahu mempertaruhkan kebahagiaan anak hanya kerana marah atau nafsu sendiri? Namun, budaya ini amat kurang di Malaysia. Ramai beranggapan anak masih kecil, tidak mengerti masalah ibu bapa. Sebenarnya jiwa dan masa depan merekalah yang dicagar pabila ibu atau bapa berani bermain api.