Curi kabel: Prasarana rugi RM20.6 juta, jejas operasi rel

Isu kecurian kabel menyebabkan gangguan perjalanan, kelewatan serta menimbulkan risiko keselamatan kepada jutaan pengguna.
KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) memandang serius isu kecurian kabel yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM20.6 juta dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini yang turut menjejaskan operasi perkhidmatan rel.
Prasarana dalam kenyataan hari ini, memaklumkan isu kecurian kabel juga menyebabkan gangguan perjalanan, kelewatan serta menimbulkan risiko keselamatan kepada jutaan pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang.
Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana Idzqandar Abu Bakar berkata kesan sebenar kecurian kabel melangkaui kerugian kewangan kerana melibatkan sistem kritikal yang menentukan keselamatan operasi rel.
"Setiap insiden kecurian menyebabkan gangguan operasi tren. Kerja pembaikan dan penggantian kabel perlu dilaksanakan segera bagi memulihkan sistem kritikal dan dalam situasi ini, penumpang merupakan pihak paling terkesan," katanya dalam kenyataan itu.
Prasarana memaklumkan trend peningkatan kes kecurian kabel semakin ketara apabila 41 kes direkodkan pada 2024 manakala 69 kes direkodkan setakat tahun ini, mencatatkan peningkatan sebanyak 68 peratus.
Idzqandar berkata isu itu bukan sahaja menjejaskan operasi rel kendalian Prasarana malah kepada operator rel lain serta syarikat telekomunikasi selain menunjukkan jenayah itu bersifat berulang dan memberi implikasi terhadap infrastruktur kritikal negara.
Peningkatan itu didorong oleh permintaan dan harga pasaran kabel, khususnya tembaga yang semakin tinggi dan menjadikan jenayah itu menguntungkan kepada sindiket.
Prasarana memaklumkan pelbagai langkah pencegahan termasuk penempatan anggota keselamatan, rondaan bersama-sama polis, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi serta pengujian penggunaan anjing pengesan di Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya telah diambil bagi menangani isu itu.
"Prasarana turut bekerjasama dengan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) untuk memperkukuh keselamatan fizikal di lokasi tertentu. Namun, dengan jajaran rel yang melebihi 200 kilometer, usaha ini sukar dilaksanakan secara bersendirian tanpa sokongan ekosistem penguatkuasaan dan kawal selia yang lebih menyeluruh," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Prasarana menyeru kerjasama semua pihak berkepentingan termasuk agensi penguat kuasa, penggubal undang-undang, pemain industri dan orang awam untuk menangani isu itu secara kolektif.
Orang ramai turut digalakkan melaporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan, khususnya di kawasan jajaran rel kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan pantas dan berkesan diambil.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


