GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di Pulau Pinang dan Kedah yang berselindung di sebalik kerja-kerja penyelenggaraan.

Dalam serbuan itu, 19 individu termasuk seorang sub kontraktor dilantik TM diberkas polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, 11 lelaki ditahan ketika sedang leka mencuri kabel bawah tanah di persimpangan lampu isyarat Jalan Tanjung Bungah, di sini, pada jam 2.40 pagi.

Penahanan tersebut membawa kepada tangkapan lapan individu lain termasuk seorang wanita dalam serbuan di Sungai Petani yang terdiri daripada kumpulan pencuri dan pembeli kabel curi.

“Modus operandi yang digunakan oleh kumpulan ini menggunakan 'main hole' menyamar sebagai petugas penyelengaraan kabel TM untuk mengaburi mata pihak polis, kesemua (berusia) 27 hingga 47 tahun berasal dari Kedah… salah sorang adalah subkontraktor oleh TM, kabel yang  dicuri milik TM.

“Ujian saringan air kencing pula mendapati tujuh suspek positif  dadah dan semakan rekod jenayah mendapati 14 individu masing masing mempunyai antara dua hingga 12 rekod jenayah dan dadah,” kata Mohd Shuhaily dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, di sini, pada Isnin.



Beliau turut memberitahu, siasatan mendapati suspek melupuskan barangan curi berkenaan  di kawasan Sungai Petani dan Kuala Ketil, Kedah.

Katanya, setakat ini, polis masih mengesan seorang lagi lelaki berusia 59 tahun disyaki terbabit dengan sindiket tersebut.

Mohd Shuhaily berkata, dengan penahanan individu tersebut, polis berjaya menyelesaikan  27 kes curi kabel iaitu 17 di Pulau Pinang dan 10 kes di Kedah yang membabitkan kerugian kira-kira RM910,448.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas empat buah kenderaan, 65 batang kabel curi, kon jalan raya, baju keselamatan, pemotong besi, gergaji, tukul besi dan lain-lain.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek 27 hingga 47 tahun mendapati tujuh daripada suspek positif syabu, manakala 14 daripada mereka mempunyai antara dua hingga 12 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.