Hanya kerana insiden kecurian bersilih ganti, Pak Din puas memerah otak mencari idea bagaimana hendak membantu penduduk kampung.

Yang dicuri bukan sebarang barangan, tetapi kereta.

Semuanya berlaku susulan ledakan harga getah, hasil utama penduduk di Kampung Pasir Kelang di sini, sekitar 2008.

Kesannya, penduduk mampu membeli kereta untuk kegunaan, tetapi kenderaan itu tidak diletakkan di rumah, sebaliknya diparkir di pengkalan feri di kampung seberang, bagi memudahkan mereka berulang-alik dengan bot penambang.

Tetapi timbul masalah lain pula apabila kereta penduduk jadi sasaran kecurian.

"Kisahnya, macam ni la, bila harga getah naik, ore kampung ni ramai la pakat beli kereto, tapi gak, parking alik kampung seberang (Apabila harga getah naik, orang di kampung ini ramai yang membeli kereta, tetapi, mereka tak dapat bawa ke sini, sekadar parkir di kampung seberang)," cerita Pak Din atau nama sebenarnya, Mohammad Jaafar.

"Puas saya fikir macam mana nak bagi ore kapung ni bawok kelik keto alah ko sini, jadi saya mula la reko pengangkut mace bot penambang, tapi hok besar sikit untuk angkut kereta (Puas saya fikir macam mana nak tolong orang kampung bawa pulang kereta ke sebelah sini, jadi saya pun mula mereka pengangkut, seperti bot penambang, tetapi yang lebih besar, untuk mengangkut kereta)," kata Pak Din.

Feri yang dibina khas untuk membawa kenderaan penduduk Kampung Pasir Kelang yang ingin ke kampung seberang bagi menjalankan perniagaan mahupun aktiviti harian. - Koperasi Kampung Pasir Kelang
Apabila rekaan sudah ada, kekangan buat Pak Din adalah kemahiran dan sumber untuk merealisasikan apa yang sudah terbentang di pelan dasar.

Atas bantuan beberapa pihak, hasrat itu akhirnya diluahkan kepada satu kontraktor di Pasir Gudang, Johor.

Modal untuk membina feri itu, berjumlah RM200,000, disumbangkan oleh koperasi, memandangkan Pak Din ialah Pengerusi Koperasi Kampung Pasir Kelang.

Maka pada 2012, feri itu mula beroperasi secara rasmi.

Feri yang dibina mempunyai kapasiti membawa enam buah kereta setiap satu hala, dan caj yang dikenakan adalah RM5 satu kereta sehala. - Koperasi Kampung Pasir Kelang
Ia mempunyai kapasiti membawa enam buah kereta setiap satu hala dan caj yang dikenakan adalah RM5 satu kereta sehala.

Caj itu disifatkan sangat berpatutan, berbanding jarak yang terpaksa dilalui sekiranya pengguna melalui jalan darat.

Ini kisah inovasi di peringkat komuniti kecil.

Inovasi yang ada potensi tetapi adakalanya tersangkut di tengah jalan gara-gara ketiadaan sumber dan beberapa kekangan lain.

Tetapi, yang penting bagi bakal pemimpin di kawasan terlibat kelak, ialah mengenal pasti potensi inovasi yang ada dan membantu mengurangkan kekangan serta halangan yang timbul, hingga adakalanya menyebabkan idea tersimpan sepi tanpa perhatian.