[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
NATIONAL

Dadah 'zombi' dikesan di Malaysia, makmal pemprosesan sedang dikenal pasti - Ayob Khan

Khalis Khadir 26/03/2025 | 04:50 MYT
Ayob Khan (tiga, kanan) berkata, hasil kerjasama PDRM dan UKM berjaya menemukan dadah fentanyl hasil sampel analisis air kumbahan di Lembah Subang baru-baru ini. -Foto Astro AWANI
BANGI: Dadah ‘zombi’ fentanyl yang dipercayai 100 kali lebih kuat daripada morfin dikesan berada dalam pasaran di negara ini.

Ringkasan AI
  • Fentanyl, yang 100 kali lebih kuat daripada morfin, dikesan dalam pasaran Malaysia melalui analisis air kumbahan di Lembah Subang.
  • Dadah ini sebelum ini dikesan di Lembah Klang dan kini telah menular ke Johor.
  • Kerjasama antara JSJN dan UKM membantu mengesan dan menyiasat aktiviti penghasilan dadah secara haram di dalam negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penemuan itu hasil sampel analisis air kumbahan di Lembah Subang yang dijalankan baru-baru ini.
Katanya, dadah baharu itu sebelum ini dikesan di Lembah Klang dan terkini telah menular ke Johor.
“Kita berjaya jumpa bahan ini hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) hasil usaha sama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilancarkan 21 Oktober 2022.
"Kerjasama strategik ini adalah langkah pertama dilaksanakan di peringkat nasional, malah juga di peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Kerjasama Strategik untuk Aktiviti Pendidikan dan Penyelidikan Dalam Bidang Sains Forensik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan UKM, di sini, pada Rabu.
Antara fokus utama inisiatif ini adalah menjalankan penyelidikan saintifik berhubung bahan-bahan terlarang termasuk dadah psikoaktif baharu (NPS) selain mengesan aktiviti penghasilan dadah secara haram di dalam negara.
"Ini penting supaya kita tahu sama ada ia dibawa masuk dari luar atau negara bersempadan dengan kita. Trend itu perlu kita lihat untuk siasatan lanjut.
"Misalnya, hasil analisis air kumbahan di Lembah Subang berjaya kesan methamphetamine dan fentanyl, jadi ada kemungkinan wujud makmal memproses dadah di kawasan terbabit.
"Sampel air kencing yang dianalisis turut menemui 57 jenis dadah.
“Bila kita sudah kenal pasti kawasan taman perumahan terbabit, JSJN akan buat risikan sebelum kita mulakan operasi. Sangat membantu sebab sebelum ini kita tidak ada kawasan sasaran,” ujarnya.
#fentanyl #analisis air kumbahan #Lembah Subang #ayob khan mydin pitchay #Dadah 'zombi' #terkini