BUKIT GANTANG: Seramai 347 mangsa ribut dan banjir di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) setakat malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan empat PPS baharu dibuka selepas beberapa kediaman di Kampung Changkat Ibol, Kampung Batu 9, Trong dan Matang dilanda banjir akibat hujan lebat berterusan sejak petang semalam.
Menurutnya, empat PPS tersebut ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Ibol, Dewan Masjid Al Wusta Batu 8, Dewan Perdana Trong dan SK Matang Gelugor yang dibuka mulai 6 petang.
Empat PPS itu menempatkan 291 mangsa banjir daripada 101 keluarga dari empat kawasan yang dilanda banjir.
Menurut sekretariat itu lagi, PPS di SK Changkat Ibol yang dibuka pada jam 6 petang menempatkan 127 mangsa daripada 40 keluarga manakala PPS Dewan Masjid Al Wusta yang dibuka 6.30 petang 112 daripada 46 keluarga.
Bagaimanapun, jumlah mangsa di PPS Dewan Perdana Trong masih belum dikemas kini setakat malam tadi sementara PPS SK Matang Gelugor pula menempatkan 52 mangsa dari 15 keluarga.
Kedua-dua PPS itu dibuka pada 8.30 malam bagi menempatkan mangsa banjir dari kawasan Trong dan Matang.
Sementara itu, jumlah mangsa ribut di PPS SK Matang yang dibuka sejak Rabu lalu kekal dengan 56 mangsa daripada 21 keluarga setakat malam tadi.