MALAYSIA

Daftar Pemilih Tambahan September 2025 dibuka untuk semakan - SPR

Bernama 06/11/2025 | 10:13 MYT
Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan September Tahun 2025 boleh dibuat dalam tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 5 Dis depan.
PUTRAJAYA: Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan September Tahun 2025 (DPT BLN9/2025) boleh dibuat dalam tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 5 Dis depan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus.

Beliau berkata DPT BLN9/2025 yang diperaku dan diwartakan hari ini mengandungi 42,305 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Sept 2025 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Selain itu, Khairul Shahril berkata ia turut mengandungi 12,324 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,319 orang pemilih bertukar kategori pengundi atau status.

"SPR menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Sept 2025 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN9/2025," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semakan boleh dibuat melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat Pilihan Raya Negeri (http://ppn.spr.gov.my), aplikasi dalam talian (https://myspr.spr.gov.my), aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian 03-8892 7218.

Khairul Shahril berkata sekiranya pemilih mendapati nama tidak disenarai dalam DPT BLN9/2025, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C manakala yang berhasrat membuat bantahan terhadap kemasukan nama mereka boleh mengisi Borang D.

Beliau berkata sebarang pertanyaan berkaitan semakan DPT BLN9/2025 boleh diajukan kepada SPR melalui portal rasmi atau menghubungi talian hotline SPR 03-8892 7218.

-- BERNAMA

#daftar pemilih #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya #september 2025