KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Perak Corporation Bhd (PCB) Datuk Aminuddin Md Desa, membayar sejumlah RM3.56 juta kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi kesalahan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

SC menerusi kenyataan hari ini memaklumkan Hakim Wan Muhammad Amin Wan Yahya mendapati, SC telah berjaya membuktikan tuntutan saman terhadap Aminuddin yang difailkan pada 2021.

Menurut kenyatan SC itu, hakim memerintahkan Aminuddin membayar RM2.46 juta kepada SC, iaitu tiga kali ganda keuntungan yang diperoleh hasil daripada pelanggaran dagangan orang dalam dan Aminuddin juga dikehendaki membayar kepada SC penalti sivil sebanyak RM1 juta serta kos RM100,000.

"Mahkamah juga melarang Aminuddin daripada dilantik sebagai ketua pengarah eksekutif atau pengarah atau terlibat dalam pengurusan syarikat tersenarai awam (PLC) dan/atau anak syarikat PLC, selama lima tahun bermula dari keputusan mahkamah hari ini (13 Feb).

"Beliau juga dihalang daripada melakukan sebarang aktiviti dagangan dalam mana-mana sekuriti di Bursa Malaysia selama lima tahun bermula daripada tarikh penghakiman mahkamah," menurut kenyataan SC.

Aminuddin didakwa melanggar Seksyen 188(2)(a) dalam Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dengan memperoleh 1,412,700 saham PCB antara Oktober 2013 dan Januari 2014 semasa dalam pemilikan maklumat dalaman.

Menurut SC, maklumat dalaman tersebut ialah mengenai cadangan penswastaan PCB oleh PKNP.

SC berkata dagangan orang dalam merupakan salah laku yang serius dalam pasaran modal dan SC komited untuk menangani salah laku dalam menyalahgunakan integriti pasaran modal.

-- BERNAMA