Dah berkurun niaga, nak dapat cop halal kerepek pisang pun susah? - Redzuan

Sinar Harian
Jun 29, 2019 08:00 MYT
MOHD REDZUAN: Dah berkurun-kurun berniaga keropok, orang Islam yang buat, nak kena lalui proses nak dapat cop halal pun susah. -Gambar fail
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mempersoalkan mengapakah peniaga di Malaysia sukar mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Memberikan contoh kerepek pisang, beliau menegaskan bukan mudah untuk mendapatkan cop halal bagi produk tersebut meskipun ia buatan orang Islam sehingga memerlukan dua ke tiga bulan untuk menyelesaikannya.
“Saya baru ini berbincang dengan seorang yang duduk dalam Jakim, saya tanya kenapa susah sangat mak cik yang berniaga keropok di Terengganu dapat pensijilan halal.
“Dah berkurun-kurun berniaga keropok, orang Islam yang buat, nak kena lalui proses nak dapat cop halal pun susah. Nak buat kerepek pisang nak dapat cop halal bukan main payah.
“Dua bulan, tiga bulan, nak buat itu nak buat ini, itu melibatkan kos. Dah 60 tahun kita makan kerepek pisang, haram ke tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Majlis Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di sini tengah hari tadi.
Turut hadir adalah Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan beberapa pemimpin badan berkanun berkenaan.
Tambah Mohd Redzuan, selepas disuarakan pendapatnya, individu tersebut memaklumkan mereka mewujudkan satu sistem bagi mempercepatkan proses tersebut untuk membantu sektor keusahawanan mikro.
“Bila kita berani katakan dengan berikan sebab-sebab yang jelas, mereka memahaminya dan sedia untuk membantu.
“Sebab itu saya kata kita kena berani suarakan hak kita sebab kita orang Islam. Susah ke nak buat kerepek pisang halal? Tak susah. Janganlah kita buat susah, agama kita nak memudahkan,” ujarnya.
Tambah Ahli Parlimen Alor Gajah itu, seluruh dunia kini membincangkan industri halal namun di Malaysia, pergerakannya agak lambat.
“Kalau kita tengok pembangunan industri halal di Thailand, ia melebihi daripada Malaysia. Saya kagum melihat di Singapura, Thailand dan Indonesia diwujudkan ‘Halal District’.
“Kita boleh cakap pasal inovasi, boleh cakap untuk mengilangkan makanan halal tapi kita masih bercakap. JAKIM masih lagi bercakap isu halal dan haram. Jepun, Thailand telah berlari lebih ke depan dari kita.
“Saya bimbang suatu hari nanti ada sekatan sebab terlalu taksub dengan pensijilan yang untuk golongan tertentu, tidak mengambil kira golongan B40,” katanya.
#Halal #Halal District #Jabatan Kemajuan Islam Malaysia #JAKIM #kerepek pisang #Mohd Redzuan Md Yusof #pensijilan halal