Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Dakwa makanan dimasak tidak sedap, tukang masak wanita maut ditikam pelanggan

Dewi Nur Harasha Alias 17/11/2025 | 01:30 MYT
Seorang tukang masak wanita warga Myanmar maut ditikam selepas dikatakan bertengkar dengan pelanggannya yang mendakwa makanan dimasaknya tidak sedap dalam kejadian di sebuah restoran masakan Thailand di Lorong Bukit Juru, malam tadi.
BUKIT MERTAJAM: Seorang tukang masak wanita warga Myanmar maut ditikam selepas dikatakan bertengkar dengan pelanggannya yang mendakwa makanan dimasaknya tidak sedap dalam kejadian di sebuah restoran masakan Thailand di Lorong Bukit Juru, di sini.

Dalam kejadian jam 9 malam tadi, wanita berusia lingkungan 40-an itu maut di lokasi kejadian manakala suaminya serta rakan suspek cedera juga akibat tikaman.

Di fahamkan sebelum kejadian, suspek warga Myanmar bersama beberapa rakannya datang makan di restoran berkenaan sekitar jam 8.30 malam dipercayai dalam keadaan mabuk sebelum tidak berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan.

Kesemua lelaki terbabit bertengkar dengan mangsa dan suaminya sebelum wanita itu menghalau mereka dari lokasi.

Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka berusia lingkungan 30-an itu dikatakan memanggil abangnya sebelum kembali semula ke restoran tersebut dan menikam mangsa sehingga maut menggunakan sebilah pisau.

Susulan itu, tindakan pantas polis berjaya mengesan dan menahan tiga suspek termasuk dua beradik berhampiran lokasi kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat manakala dua lagi mangsa cedera turut dirawat di hospital sama.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.



#tukang masak maut #warga myanmar #makanan tidak sedap #ditikam pelanggan