Dakwaan cuai, Serba Dinamik kemuka saman terhadap KPMG

Harits Asyraf Hasnan
Jun 22, 2021 10:14 MYT
Writ saman tersebut telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, dengan Serba Dinamik melantik peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili syarikat. - Foto Fail
KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Berhad memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman firma audit KPMG.
Ia selepas syarikat itu mendakwa firma berkenaan telah secara cuai mengeluarkan teguran audit kononnya syarikat itu tidak dapat mengesahkan kontrak dan transaksi berjumlah RM3.5 bilion.
Pengerusi Serba Dinamik Holdings Berhad, Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed berkata, tindakan undang-undang itu bukan disebabkan oleh kerugian yang dialami.
"Tindakan undang-undang bukan disebabkan syarikat ini tidak cemerlang. Kita sangat baik dengan kontrak semasa bernilai RM18 bilion, pulangan RM6 bilion dan keuntungan melebihi RM1 bilion.
"Syarikat ini sihat tetapi cara juruaudit luar (KPMG) paparkan syarikat ini seolah-olah banyak masalah sedang berlaku.
"Sebagai Pengerusi baharu syarikat ini, saya fikir kita perlu mengambil tindakan terhadap pihak yang memulakan teguran ini," katanya pada sidang media khas di Shah Alam pada Selasa.
Writ saman tersebut telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, dengan Serba Dinamik melantik peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili syarikat.
"Kami kemukakan tindakan ini pagi tadi. Kami nak lakukannya malam tadi. Kami telah menghantar salinan writ kepada KPMG," kata Shafee dalam sidang media sama.
Serba Dinamik dihantui kontroversi melibatkan transaksi meragukan bernilai lebih RM3 bilion yang dibangkitkan juruauditnya, KPMG.
Kontroversi tersebut memberi kesan kepada nilai sahamnya yang minggu lalu susut lebih 50 peratus, sekali gus menjunamkan permodalan pasaran syarikat itu dengan nilai susut lebih RM3 bilion.
#KPMG #Serba Dinamik saman KPMG #Serba Dinamik #Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed #teguran Audit #audit KPMG