JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung cubaan pihak tertentu untuk mendapatkan sokongannya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Natrah, yang merupakan Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), membuat laporan itu di SPRM Cawangan Segamat.

"Hari ini saya membuat satu laporan kepada pihak SPRM berkenaan satu kejadian percubaan mendapatkan sokongan saya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan janji manfaat yang boleh saya peroleh dengan pemberian sokongan tersebut.

"Kejadian itu berlaku pada 3 Mac lepas dan melibatkan dua individu termasuk seorang yang bergelar Datuk Seri," menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata laporan itu dibuat berdasarkan Seksyen 25 Akta SPRM 2009 berhubung kewajipan melaporkan tawaran suapan dan berharap SPRM akan dapat menyiasat perkara tersebut dengan segera.

Semalam, Natrah dinasihati untuk tampil membuat laporan kepada SPRM susulan dakwaan ada individu cuba menyogok beliau supaya keluar daripada PKR.

SPRM memaklumkan Natrah perlu membuat aduan kepada SPRM jika menganggap perkara itu sebagai perlakuan rasuah.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan bahawa ada dua individu bertemu dengan Natrah dan cuba menyogok beliau supaya berpaling tadah daripada PKR dengan nilai tawaran RM10 juta selain dijanjikan jawatan.

-- BERNAMA