Dakwaan hina Zakir Naik: K Senthivelu akan dipanggil polis

Astro Awani
Januari 6, 2020 05:25 MYT
K Senthivelu akan dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penghinaan pendakwah Dr Zakir Naik (gambar) di Facebooknya pada Sabtu lalu. - Gambar fail
Ahli Majlis Bandaraya Seremban (MBS), K Senthivelu akan dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penghinaan pendakwah Dr Zakir Naik di Facebooknya pada Sabtu lalu.
Ia susulan lima laporan yang diterima pihak polis mengenai dakwaan itu.
Lapor Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, K Senthivelu didakwa memuat naik status bergambar yang menyentuh sensitiviti umat Islam.
"Siasatan lanjut tetap akan dilakukan walaupun beliau sudah memadamkan hantaran yang dimuat naik sebelum ini kerana itu adalah prosedur biasa," katanya selepas Program Bersih ke Sekolah yang turut dihadiri Pengarah Kolej Vokasional Ampangan, Sarimen Sapiei di Kolej Vokasional Ampangan di sini hari ini.
Kes itu katanya akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
#Ahli Majlis Bandaraya Seremban #Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim #hina Islam #K Senthivelu #Ketua Polis Daerah Seremban #status Facebook #Zakir Naik