Dakwaan kartel dalam PDRM: Tak perlu lapor, terpulang kepada menteri - KPN

Astro Awani
Mac 22, 2021 09:59 MYT
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid menjelaskan bahawa pendedahannya sebelum ini sekadar mahu membuka mata pegawai lain. - Gambar fail/Astro AWANI
SHAH ALAM: “Saya tidak akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), sebaliknya akan bersemuka dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk memberi penjelasan lanjut.”
Demikian kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid yang menjelaskan bahawa pendedahannya sebelum ini sekadar mahu membuka mata pegawai lain kerana percaturan kartel muda itu masih dalam kawalannya.
Bagaimanapun, katanya SSP bebas untuk menyiasat dakwaan salah laku pegawai muda yang mewujudkan kartel untuk menguasai jawatan penting dan menjatuhkan pegawai atasan mereka.
"Tidak perlu (laporan) tetapi terpulang kepada Menteri sama ada perkara itu (perlu) untuk diangkat kepada SPP atau tidak.
"Ada yang suruh buat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Sebenarnya saya tegaskan (perkara ini) masih dalam keadaan terkawal.
"Saya hanya menguar-uarkan perkara ini dengan harapan semua pihak dan pegawai lain mengambil iktibar daripadanya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
BACA: Abdul Hamid perlu lapor dakwaan 'ada kartel dalam PDRM' kepada SPP - Hamzah
Abdul hamid berkata, beliau akan bertemu Hamzah tidak lama lagi untuk menjelaskan perkara terbabit secara terperinci.
Mengulas lanjut mengenai kartel itu, katanya, pendedahan yang dibuat atas tanggungjawab beliau sebagai Ketua Polis Negara kerana tidak mahu budaya 'the blue code of silent' di Amerika Syarikat bersarang dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tegasnya, PDRM bukan miliknya tetapi kepunyaan negara namun beliau akan memimpinnya ke jalan yang betul.
#kartel PDRM #KPN #PDRM #Ketua Polis Negara #Abdul Hamid Bador #SSP #RCI #Menteri Dalam Negeri #Hamzah Zainuddin