Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar akan membuat sidang media esok mengenai dakwaan sebuah kubur besar yang dipercayai mengandungi mayat hampir 100 warga etnik Rohingya.

Menurut laporan The Star, kubur besar itu dijumpai di Padang Besar, Perlis walaupun masih belum ada pengesahan tentang lokasi sebenar.

Menurut sumber, komando polis dan pasukan forensik dari Bukit Aman tiba di lokasi pada petang Jumaat.

“Setakat ini tiada maklumat boleh didapati kerana dipercayai polis sedang menjalankan siasatan,” sumber itu berkata.

Pada 11 Mei lepas, Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim, dalam satu kenyataan menjelaskan tiada kem penampungan atau kubur-kubur pendatang asing warga Rohingya dikesan di negara ini.

Tambah beliau, perkara itu disahkan polis yang menjalankan siasatan mengenainya, di dalam kawasan Malaysia.

Menurutnya, senario semasa di sempadan Malaysia-Thailand, lebih menjurus kepada aktiviti jenayah penyeludupan migran berbanding jenayah pemerdagangan orang.