Dakwaan lebih 10 ekor kucing mati akibat direndam air panas tidak tepat - Polis

Bernama
Disember 1, 2023 09:23 MYT
Sebelum ini tular di media sosial lebih 10 ekor kucing ditemukan mati pada Rabu lepas dipercayai direndam air panas. - Gambar/ Sinar Harian
KUANTAN: Dakwaan punca kematian lebih 10 ekor kucing di Pasar Borong Jerantut, dekat sini akibat direndam dengan air panas, tidak tepat.
Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azman Mat Kamis berkata siasatan lanjut sedang dijalankan, justeru meminta orang ramai menghentikan spekulasi berhubung kes itu.
"Polis juga masih mengesan pelakunya dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini tular di media sosial lebih 10 ekor kucing ditemukan mati pada Rabu lepas dipercayai direndam air panas.
Sementara itu, Persatuan Haiwan Malaysia menerusi hantaran di laman Facebook menawarkan ganjaran RM5,000 kepada individu yang dapat merungkai kes pembunuhan kucing berkenaan.
-- BERNAMA
#anak kucing #rendam air panas #pasar borong jerantut #polis