KUALA LUMPUR: Dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bahawa beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi tanpa kerelaan dan di bawah paksaan wajar disahkan oleh peguam yang hadir semasa proses berkenaan, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berkata, pengesahan daripada peguam terbabit penting bagi menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku ketika dokumen tersebut ditandatangani.
“Saya rasa elok kalau kenyataan itu disahkan oleh peguam sendiri sekiranya peguam berkenaan hadir ketika penandatanganan proklamasi itu dibuat.
“Kita juga difahamkan mungkin akan ada sidang media dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2026, pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ismail yang mendakwa dipaksa menandatangani dokumen berkenaan sebelum membuat laporan polis semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan UMNO tidak akan campur tangan dalam isu tersebut dan akan terus menghormati institusi diraja, Undang serta adat istiadat Negeri Sembilan.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa dirinya hadir ketika proses penandatanganan Surat Cara Proklamasi itu dilakukan.
“Memang saya tidak berada di situ. Ismail sendiri sudah menafikan bahawa saya terlibat atau hadir ketika proses itu berlangsung,” katanya.
Ahmad Zahid juga menolak dakwaan kononnya beliau menerima surat peletakan jawatan daripada Ismail.
Terdahulu, Ismail memaklumkan Surat Cara Proklamasi yang tular menerusi satu kenyataan media telah ditandatangani tanpa kerelaannya dan di bawah tekanan.
Beliau berkata laporan polis telah dibuat kira-kira jam 6 petang semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.