SHAH ALAM: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin akan menghantar surat tuntutan terhadap Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat kerana dakwaan mengaitkan beliau dengan kes rasuah RM15 juta membabitkan seorang ahli perniagaan.

Bekas Menteri Dalam Negeri itu berkata, dakwaan tersebut berunsur fitnah, selain menegaskan beliau tiada kaitan dengan kes tersebut.

Menurut beliau, tuduhan tersebut juga disifatkan sebagai satu bentuk kezaliman.

“Saya akan hantar ‘Letter of demand’ kepada Kerajaan Malaysia dan SPRM.

“Saya lakukan ini bukan kerana saya. Saya lakukan ini kerana nak menentukan tidak ada lagi kezaliman yang berlaku dalam negara ini.

“Saya lakukan ini adalah untuk saudara-saudara di hadapan saya. Saya perjuangkan ini bukan untuk kepentingan saya tetapi semata-mata untuk memberitahu kepada semua pengundi yang mengundi pada 12 Ogos ini,” katanya ketika berucap dalam program ‘Pentas Setiausaha Agung Perikatan Nasional’, di sini pada Khamis malam.

Hamzah mendakwa Malaysia ketika ini ditadbir oleh seorang pendendam.

Kes mahkamah yang terpalit dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tuduhan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad misalnya, kata Hamzah dibuat semata-mata kerana dendam.

Sementara itu, Hamzah ketika ditemui selepas program berkenaan bagaimana enggan memperincikan tuntutan yang akan dibuat.

“Saya sudah jumpa peguam saya, insya-Allah surat itu akan dihantar esok. (Apa tuntutan?) Tunggu esok…,” ujar Hamzah.

Pada 10 Mei lalu, ahli perniagaan Sim Choo Thiam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap empat tuduhan dihadapinya.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam iaitu Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri pada Jun 2021.

Dia juga didakwa dengan tiga lagi tuduhan iaitu menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.