[TERKINI] Najib Razak kekal di Penjara Kajang
MALAYSIA

Dakwaan rasuah libatkan pegawai kanan ATM, SPRM minta Chegubard buat laporan rasmi

Bernama 22/12/2025 | 12:15 MYT
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata agensi itu akan menyiasat sebarang dakwaan rasuah atau penyalahgunaan kuasa sekiranya disokong oleh maklumat dan bukti yang sahih. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard tampil membuat laporan rasmi berhubung dakwaannya mengenai seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat rasuah.


Ringkasan AI
  • SPRM meminta Chegubard membuat laporan rasmi berhubung dakwaannya mengenai pegawai ATM terlibat rasuah.
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menegaskan siasatan akan dijalankan jika terdapat maklumat dan bukti yang sahih.
  • Badrul Hisham mendakwa terdapat kemasukan wang bulanan puluhan ribu ringgit ke dalam akaun pegawai kanan tentera berkenaan.


Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata agensi itu akan menyiasat sebarang dakwaan rasuah atau penyalahgunaan kuasa sekiranya disokong oleh maklumat dan bukti yang sahih.

Azam bagaimanapun berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan rasmi atau bukti dokumentasi berkaitan perkara tersebut.

"Semua siasatan SPRM dijalankan secara bebas dan profesional, serta berasaskan fakta dan bukti semata-mata," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Badrul Hisham mendakwa hasil semakan dokumen forensik yang diterimanya secara tanpa nama menunjukkan terdapat kemasukan wang secara bulanan dalam jumlah puluhan ribu ringgit ke dalam akaun yang dikaitkan dengan pegawai kanan tentera berkenaan dan ahli keluarganya.

Pada kira-kira 1 tengah hari tadi, Chegubard hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi mengemukakan laporan polis berhubung dakwaan itu dan selesai memberikan keterangan kira-kira 4.30 petang tadi.

-- BERNAMA

#dakwaan rasuah #Chegubard #pegawai kanan ATM #SPRM