Dakwaan salah guna kuasa: Pegawai khas ADUN dibebaskan

Abd Razak Mohd Ali
Julai 17, 2021 05:29 MYT
Suspek ditahan pada 12 Julai lalu di Pejabat SPRM Taiping ketika hadir memberi keterangan pada lebih kurang jam 3.30 petang. - Gambar hiasan
IPOH: Pegawai khas kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Ipoh, Nurfarah Syahidah Mohd Noh mengeluarkan perintah tersebut selepas lelaki berusia 57 tahun itu direman selama lima hari bermula 13 Julai lepas.
Beliau membenarkan lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000, dengan dua orang penjamin, selepas melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Suspek membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah itu.
Suspek ditahan pada 12 Julai lalu di Pejabat SPRM Taiping ketika hadir memberi keterangan pada lebih kurang jam 3.30 petang.
Siasatan awal SPRM mendapati, suspek disyaki menyalah guna jawatan dan kedudukannya selaku ahli lembaga sebuah koperasi pertanian dengan mencadang dan melantik syarikat miliknya sendiri bagi mendapatkan projek ternakan ikan.
Projek berkenaan dibangunkan di atas tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) seluas 80.937 hektar, di sebuah kawasan di Daerah Kerian yang telah dipajakkan kepada Koperasi Pertanian.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.
#Ipoh #ADUN #Rasuah #Taiping #SPRM #Mahkamah Majistret #reman #Bebas #pegawai khas