Dakwaan salah laku di MoT: Anthony Loke mahu bertemu KP SPRM, beri kerjasama penuh

Nursyazwani Saiful Sham
Mei 9, 2023 05:10 MYT
Loke mahu mengambil langkah proaktif dan akan bertemu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA : Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memandang serius dakwaan agensi kerajaan termasuk di Kementerian Pengangkutan tidak mengendahkan laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka.
Jelasnya, beliau akan mengambil langkah proaktif dan akan bertemu Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk mendapatkan perincian lanjut.
"Jadi saya memandang serius apa yang dikatakan KP SPRM, saya tidak ada maklumat setakat ini kerana ini berdasarkan laporan media.
"Namun oleh sebab beliau ada menyebut berkenaan agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pengangkutan, jadi saya akan ambil langkah proaktif dan akan memohon temu janji dengan KP SPRM untuk dapatkan laporan lanjut.
"Saya akan beri kerjasama sepenuhnya... dan saya akan arahkan jabatan dan agensi untuk beri kerjasama sepenuhnya serta ambil tindakan sekiranya apa-apa laporan ada bukti, asas kukuh kalau melibatkan tatakelola salah laku tadbir urus," ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Azam berkenaan lebih 500 laporan salah laku melibatkan Kementerian Pengangkutan pada Selasa.
Ujarnya lagi, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Azam untuk mengetahui secara terperinci senarai nama dan kes yang membabitkan kementerian itu untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan, Azam berkata ada antara agensi kerajaan tidak mengendahkan laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka walaupun SPRM mengesyorkan tindakan diambil.
#Anthony Loke #Azam Baki #SPRM #salah laku