Dakwaan The Times of India perlu diambil serius - Pakar antikeganasan

Fareez Azman
Disember 14, 2020 10:46 MYT
Laporan The Times of India pada Ahad mendakwa pasukan risikan India berjaya mengesan transaksi wang mengaitkan Dr Zakir Naik dan masyarakat Rohingya di Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil perhatian serius berhubung dengan dakwaan sebuah portal berita The Times of India yang mengaitkan masyarakat Rohingya di negara ini dengan rancangan untuk melakukan serangan di India.
Menurut pakar kajian strategik dan antikeganasan, Dr Mohd Mizan Aslam, dakwaan itu perlu dilihat secara mendalam terutamanya menerusi kerjasama perkongsian maklumat di antara kedua-dua negara.
Ini perlu kerana laporan itu turut memetik daripada hasil risikan pasukan Research and Analysis Wing (RAW) India yang juga di antara pasukan risikan elit negara itu.
"Kita perlu melihat perkara ini dari segi holistik, kita tidak boleh menafikan terus kemungkinan wujud elemen pengganas atau keganasan ini.
"Ini satu perkara seharusnya bila ada sahaja laporan, harus diambil serius kerana laporan ini mungkin benar. Jika ia benar dan serangan dilakukan akan berlaku satu kekesalan.
"Berbalik isu Times of India ini, pertama sekali saya nak maklumkan kerajaan Malaysia harus mengambil serius perkara ini harus diselidiki mendalam," katanya ketika ditemubual Astro AWANI pada Isnin.
Ujar Mohd Mizan lagi, dia percaya pihak berkuasa akan melihat pelbagai sudut siasatan termasuk kemungkinan berita palsu jika dakwaan itu tersasar.
"Di sini menimbulkan beberapa persoalan kerana sekarang banyak fake news, seperti terbaharu didedahkan pembunuhan kepada Ketua Risikan Mossad di Tel Aviv, tetapi media yang menyebarkan maklumat tersebut hanyalah media di Iran dan bukan di seluruh dunia.
"Ini perkara perlu diselidiki mengapa hanya Times of India dan media India mengambil berita tersebut dan tidak media lain," katanya lagi.
Dalam masa yang sama jelas Mohd Mizan, isu pendakwah bebas Dr Zakir Naik yang turut dikaitkan dengan berita itu juga jelasnya perlu diselidiki.
Ia susulan permintaan kerajaan India sebelum ini meminta Malaysia mengekstradisi pendakwah terbabit gagal.
"Ketiga, kita harus lihat satu sentimen lain, iaitu apabila isu ini dikaitkan dengan Dr Zakir Naik, kita harus faham kerajaan India memang telah lama meminta kerajaan Malaysia mengektradisi Dr Zakir Naik, sejak 2016 dikehendaki kerana dikaitkan dengan pengubahan wang haram di India.
"Jadi perkara itu sentiasa berlaku, diminta kerajaan India sehingga akhirnya ketika pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau telah menafikan sekali lagi sehingga membawa kesan hubungan dagang di antara Malaysia dan India," katanya lagi.
Tambahnya, beliau tidak menolak dengan mengaitkan pendakwah bebas itu dilihat mampu memberi tekanan kepada Malaysia untuk menghantar Dr Zakir Naik pulang ke negara asalnya seperti dituntut sebelum ini.
Terdahulu, portal berita yang memetik maklumat daripada dokumen perisikan itu, menyatakan rancangan serangan itu sudah berada di peringkat akhir.
Ia turut melaporkan, transaksi melibatkan lebih RM820,000 itu dijejak kepada seorang pemimpin Rohingya yang berpangkalan di Kuala Lumpur yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pendakwah Dr Zakir Naik.
Zakir yang diberikan status pemastautin tetap di Malaysia pada tahun 2012 sebelum ini dilaporkan pernah memohon untuk mendapatkan status warganegara.
#Dr Zakir Naik #pendakwah bebas #Malaysia #Rohingya #the times of india #keganasan #pengganas #aktiviti pengubahan wang haram #serangan #India #pasukan risikan #media antarabangsa #pasukan keselamatan #PDRM