Dalam tempoh seminggu lebih, 810 premis diarah tutup kerana ingkar SOP - Hishammuddin

Ridauddin Daud
Ogos 10, 2021 07:37 MYT
Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap perkara itu, beliau perlu tegas dalam soal pematuhan SOP melibatkan premis yang dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan PPN. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 810 premis diarah tutup serta-merta kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh lebih seminggu, kata Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menurutnya, sejak mengambil alih tugas pada 7 Julai lepas, setiap hari beliau menerima laporan sama daripada Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tegasnya, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap perkara itu, beliau perlu tegas dalam soal pematuhan SOP melibatkan premis yang dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Sumber Facebook HishammuddinH2O
“Apabila kemudahan beroperasi diberikan, sepatutnya tiada alasan untuk mana-mana premis ingkar SOP - besar risikonya terhadap keselamatan negara terutama dalam konteks penularan COVID-19.
“Sejak ambil alih tugas ini, setiap hari saya terima laporan daripada Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM - dalam seminggu lebih ini sahaja 810 premis diarah tutup serta-merta kerana ingkar SOP,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA: Hishammuddin ambil alih tugas umum pematuhan SOP mulai esok - TPM
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan semua pihak yang terlibat kerana bertungkus-lumus menjalankan penguatkuasaan di seluruh negara.
“Mengenakan tindakan bukan kemahuan saya mahupun PDRM. Tetapi jika premis sendiri tidak bertanggungjawab, maka mereka perlu tanggung akibatnya,” ujarnya.
Isu kebenaran operasi untuk beberapa sektor dalam perkhidmatan perlu menjadi hangat dibincangkan sejak beberapa bulan lepas.
Ia susulan dakwaan mengatakan sektor tersebut antara yang menyumbang peningkatan kes baharu di Malaysia namun masih dibenarkan beroperasi, tidak ditutup sepenuhnya.
#Hishammuddin Hussein #Menteri Kanan Keselamatan #kilang #Premis #ingkar #SOP #COVID-19 #Hamzah Zainuddin #Menteri Dalam Negeri #KDN #Pelan Pemulihan Negara #PPN #PDRM #perkhidmatan perlu #TPM