Dalang jual organ manusia direman tujuh hari

Rohana Wahed
Ogos 14, 2020 03:13 MYT
Suspek telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching kira-kira jam 1.45 petang pada Khamis. --fotoBERNAMA
Suspek kes penjualan organ dalaman antarabangsa direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Lelaki berusia 48 tahun dari Kuching itu disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan organ manusia secara haram di pasaran gelap antarabangsa.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuching Mosidi Husseini, yang bersidang sebagai majistret, susulan permohonan dikemukakan Pegawai Penyiasat ASP Nor Elyanis Mohd Yusoff, kira-kira jam 9.20 pagi.
Terdahulu, suspek telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching kira-kira jam 1.45 petang pada Khamis.
Suspek sebelum ini diburu polis Sarawak bagi membantu siasatan selepas tular laporan portal berita yang berpangkalan di United Kingdom, The Sun, mendedahkan aktiviti haram suspek sebagai dalang penjualan organ dalaman manusia.
Malah dalam laporan itu juga turut memaparkan video perbincangan antara suspek dan wartawan portal berkenaan yang menyamar sebagai pembeli.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
#ATIPSOM #dalang #haram #Kuching #mahkamah #organ dalaman #organ manusia #pasaran gelap #polis #reman #siasatan #suspek #United Kingdom #video #wartawan portal