Polis Kuala Lumpur menahan tiga lelaki warga Iran selepas disyaki menjadi dalang kegiatan memproses dadah dalam satu serbuan di satu unit kondominium mewah di Jalan Delima, di sini, jam 5.30 petang, pada Rabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata ketiga-tiga suspek itu ditahan hasil maklumat lima ahli sindiket pengedaran dadah yang ditahan sebelum serbuan itu dilakukan.

“Dalam serbuan itu, kita menahan tiga lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam berusia di antara 22 hingga 57 tahun dan merampas dadah disyaki heroin seberat 1.05 kg, dadah disyaki ketamin seberat 17.3 kg dan dadah disyaki methamphetamine seberat 3.03 kg.

“Hasil soal siasat ke atas suspek kemudian membawa kepada serbuan kedua membabitkan tiga suspek warga Iran dengan nilai keseluruhan rampasan dadah kedua-dua serbuan dianggarkan lebih RM1.8 juta,” katanya.

Turut dirampas daripada ketiga-tiga suspek berusia antara 35 hingga 38 tahun itu, dua tong plastik disyaki cecair methamphetamine seberat 29.8 kilogram (kg) dan dadah disyaki methamphetamine seberat 0.58 kg.

Katanya, serbuan ke atas lima ahli sindiket pengedaran itu dilakukan pada jam 1.05 tengah hari di sebuah kondominium mewah di Jalan P Ramlee hasil maklumat awam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai ketiga-tiga warga Iran itu, Mazlan berkata, mereka memasuki negara ini sebagai pelancong.

“Seorang daripada mereka sudah berada di negara ini selama empat tahun, seorang lagi selama empat bulan, manakala seorang lagi baru berada di Malaysia selama lima hari.

“Kedua-dua sindiket ini dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dengan anggaran pengguna lebih 30,000 orang.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan daripada mana warga Iran terbabit memperoleh bahan mentah untuk diproses menjadi dadah.

Kesemua suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 9 Julai depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.