KUALA LUMPUR: Sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan bagi menyokong Program Kepimpinan Digital Eksekutif (EDL), inisiatif strategik MyDIGITAL Corporation di bawah Kementerian Ekonomi bagi melengkapkan pengetahuan kepimpinan awam dan swasta dengan kemahiran digital.

Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata, inisiatif tersebut merupakan kerjasama strategik antara MyDIGITAL Corp dengan institusi akademik terkemuka, Asia School of Business (ASB)/MIT Sloan Management, serta syarikat-syarikat teknologi global.

Jelas beliau lagi, insiatif tersebut diwujudkan selepas kerajaan ada keperluan segera untuk pemberdayaan sektor awam melalui pemodenan perkhidmatan awam menggunakan aplikasi teknologi dan data (atau “govtech”).


“Kita peruntukkan RM5 juta hingga akhir tahun ini, untuk biayai kos pembangunan dan lain-lain one-off cost, dan dengan kohort pertama menjelang akhir tahun akan beri gambaran untuk kita tentukan peruntukan bagi tahun-tahun mendatang.

“Apabila kita nak membangunkan kekuatan teknologi, kohort ini adalah pemboleh (enablers). Kerajaan melihat ini sebagai satu pelaburan, dan pulangannya akan dirasai apabila kita melihat lebih kreativiti dalam ekonomi, baik di peringkat kerajaan mahupun swasta.

“Ini merupakan sebahagian persiapan kerajaan dalam menuju ke arah ‘govtech’. Kita tidak boleh sekadar melabur, tetapi pembuat keputusan di peringkat awam dan swasta tidak mempunyai kemahiran yang selari dengan keperluan mewujudkan ekonomi digital,” katanya kepada sidang media, selepas menyempurnakan Program Kepimpinan Digital: Memberdaya Ekonomi Digital Ke Arah Pelaksanaan GovTech, di ibu negara pada Khamis.

Melalui program selama tiga bulan itu, pengurusan kanan sektor awam dan swasta melalui modul-modul “immersive learning” yang dikendalikan oleh Rakan Strategik Teknologi untuk memberi mereka peluang memahami bagaimana syarikat teknologi dunia dibangunkan dan diuruskan, terutamanya dalam menjana inovasi dan kreativiti.

Dalam pada itu Rafizi berkata, kerajaan mengambil pendekatan bersepadu melalui Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Industri ke-4 (MED4IR) untuk membangunkan ekosistem ekonomi digital melalui kaedah dasar, inisiatif dan pendanaan yang melibatkan sektor awam dan swasta.

Kesemua matlamat tersebut, jelasnya lagi, memerlukan kepimpinan organisasi awam dan swasta yang berupaya menangani cabaran mutakhir dalam teknologi dan pendigitalan.

“Negara memerlukan kepimpinan kementerian-kementerian yang mempunyai kepakaran digital yang tinggi supaya dasar dan inisiatif kerajaan berteraskan pendekatan digital dan teknologi, terutamanya dalam melaksanakan peralihan kepada govtech,” katanya lagi.

Dalam sidang media tersebut, Rafizi turut menzahirkan penghargaan kepada Rakan Strategik Teknologi (Technology Immersion Partners), termasuk pemimpin industri seperti Amazon Web Services, Google Cloud, IBM, Microsoft, dan Shopee.