KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin menggesa Perdana Menteri meminta maaf susulan kenyataannya sebelum ini mendakwa parti dalam Perikatan Nasional (PN) menerima dana judi semasa kempen pilihan raya yang lepas.

Menurutnya, jawapan diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) bagi menjawab soalan bertulis di Parlimen membuktikan dakwaan itu tidak benar.

Tegasnya, dalam jawapan susulan soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan dan mendapati tuduhan terlalu umum.

Bahkan dalam jawapan sama, SPRM menyatakan tiada pihak dapat mengesahkan dakwaan dilontarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

“Lontaran tuduhan itu asalnya dibuat Perdana Menteri selepas beberapa minggu menerajui kerajaan, melengkapkan lagi bukti pembohongan Perdana Menteri.

BACA: Mana tuduhan PN terima dana judi, soal Ahmad Fadhli

“Kami menggesa Perdana Menteri  memohon maaf secara terbuka ke atas fitnah dan penipuan yang dilemparkan kepada PN itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Astro AWANI pada Jumaat melaporkan Ahmad Fadhli menyindir pimpinan Kerajaan Perpaduan mengenai dakwaan mereka bahawa PN ada menerima dana daripada syarikat perjudian bagi kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata sedemikian susulan laporan SPRM yang tidak dapat membuktikan tuduhan terbabit.

Menurutnya, dakwaan berkenaan jelas merupakan satu fitnah bagi memburukkan PN.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada Khamis memberitahu Dewan Rakyat, siasatan SPRM tidak dapat membuktikan PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen PRU15.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahmad Fadhli yang ingin mengetahui status siasatan terhadap dakwaan tersebut.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu sidang media mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.

Dakwaan berkenaan bagaimanapun disangkal oleh parti gabungan PN iaitu Pas atas alasan mustahil mereka menerima dana politik daripada tauke dan syarikat judi ketika pihaknya tegas menutup tempat kegiatan terbabit.