MALAYSIA

DAP desak Peguam Negara semak semula NFA kes kematian Teoh Beng Hock

Sinar Harian 08/06/2025 | 04:00 MYT
Anthony Loke dan Gobind Singh Deo menyatakan bahawa Peguam Negara perlu menjelaskan mengapa kuasa budi bicara untuk mendakwa tidak digunakan dalam kes ini.
SHAH ALAM: DAP mendesak Jabatan Peguam Negara supaya menyemak semula keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) dalam kes Teoh Beng Hock, sekali gus menuntut penjelasan mengapa tiada pendakwaan dilakukan selepas 15 tahun.


Ringkasan AI
  • DAP meminta Jabatan Peguam Negara menyemak semula keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) dalam kes kematian Teoh Beng Hock, walaupun terdapat perkembangan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
  • Gobind Singh Deo dan Anthony Loke menyatakan bahawa Peguam Negara perlu menjelaskan mengapa kuasa budi bicara untuk mendakwa tidak digunakan dalam kes ini.
  • Desakan ini dibuat selepas surat rasmi bertarikh 30 Mei menyatakan tiada bukti mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu, walaupun kematian Teoh berlaku semasa dalam siasatan SPRM pada tahun 2009.


Dalam kenyataan bersama, Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa Jabatan Peguam Negara perlu menyemak semula keputusan untuk mengklasifikasikan siasatan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) walaupun terdapat perkembangan kes di Mahkamah Rayuan dan prosiding sivil di Mahkamah Tinggi.

“Peguam Negara dan tiada orang lain mempunyai budi bicara untuk mendakwa di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Beliau perlu menjelaskan mengapa budi bicara itu tidak digunakan dalam kes ini,” ujar mereka pada Ahad.

Desakan DAP itu dibuat susulan surat bertarikh 30 Mei daripada Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar kepada peguam keluarga Beng Hock, Ramkarpal Singh yang menyatakan tiada bukti mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu atas kematian mendiang.

Beng Hock yang merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, meninggal dunia pada 16 Julai 2009 selepas ditemui terjatuh dari tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam ketika disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Justeru, DAP menyeru supaya tindakan diambil segera bagi memastikan keadilan buat keluarga Teoh dan rakyat Malaysia. - Sinar Harian






#Teoh Beng Hock #NFA #DAP #Peguam Negara