SHAH ALAM: Rakyat Malaysia mempunyai kewajipan moral untuk berdiri teguh bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mencari pengakhiran kepada kesengsaraan rakyat Palestin di pentas antarabangsa.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, ini kerana kekejaman di Gaza hanya dapat ditamatkan melalui penyelesaian antarabangsa.

"Pujian yang diterima oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim atas penilaian terus terangnya mengenai situasi Palestin semasa sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz mencerminkan kekecewaan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Israel dan sekutunya.

"DAP menyokong keberanian Perdana Menteri yang tampil sebagai suara nurani masyarakat antarabangsa," kata Loke yang juga Menteri Pengangkutan dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Anwar menonjol dalam kalangan pemimpin negara-negara perdagangan kerana pendiriannya yang lantang bersuara mengenai krisis kemanusiaan di Gaza.

Melalui lawatannya ke Australia dan Jerman baru-baru ini untuk meningkatkan hubungan dua hala dengan kedua-dua negara, Anwar tetap berpegang teguh dengan pendapatnya terutama melibatkan konflik di Asia Barat.

Penganalisis politik, Rahman Hussin berkata, Anwar tetap setia dengan perjuangannya kerana sebelum menjadi Perdana Menteri Malaysia, beliau adalah penyokong Palestin dan Hamas.

Difahamkan lebih 30,000 nyawa terkorban dalam peperangan yang tercetus antara Israel dan Hamas sejak Oktober tahun lalu.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian