Siasatan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Kassim akan didedahkan di mahkamah kelak.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, PDRM telah menemukan dapatan tertentu mengenai punca kematian Allahyarham.

"Siasatan pihak polis melalui rakaman percakapan saksi-saksi, lakonan semula (re-enactment) dan juga hasil bedah siasat yang telah dilakukan oleh pihak forensik patalogi telah menemukan dapatan tertentu mengenai sebab kematian Allahyarham yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

"Saya telah berbincang dengan Peguam Negara mengenai perkembangan kes ini.

"Peguam Negara telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau selaku Pendakwa Raya, dalam menjalankan kuasanya di bawah seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah akan mengarahkan Majistret untuk membuat siasatan (inkues) di bawah Bab XXXII Kanun yang sama bagi menentukan sebab kematian Allahyarham," katanya menerusi kenyataan media pada Khamis.


Jelas beliau, pihak pendakwa raya akan memohon kepada mahkamah supaya ditetapkan tarikh pendengaran dengan segera dan akan membantu Majistret berkenaan dalam menjalankan inkues tersebut.

"Dalam prosiding inkues ini, Majistret akan mempunyai kuasa yang luas di bawah seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian termasuk mempertimbangkan bagaimana Allahyarham menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan, atau dipercepatkan oleh, apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh orang lain," tambahnya lagi.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Muhammad Adib meninggal dunia selepas tiga minggu bergelut dengan nyawa akibat parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman November lalu.