[TERKINI] SPRM Tahan Bekas Ketua Setiausaha Politik Kanan PM – Ikuti Perkembangan di Sini!
MALAYSIA

'Dapur Cakna MAIPs' bantu kurangkan tekanan peringkat awal banjir

Bernama 28/11/2025 | 14:00 MYT
Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada anak-anak kariah di semua masjid yang terlibat dan berharap usaha murni itu terus diperkukuh serta menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak. - Gambar MAIPs
KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperkenalkan 'Dapur Cakna MAIPs' sebagai inisiatif 'First Responder' bagi membantu mengurangkan tekanan peringkat awal bencana banjir di negeri ini.


Ringkasan AI
  • MAIPs memperkenalkan 'Dapur Cakna MAIPs' sebagai inisiatif 'First Responder' untuk bencana banjir di Perlis.
  • Usaha menyediakan makanan tambahan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara dilakukan secara sukarela oleh jawatankuasa masjid dan para jemaah.
  • Raja Muda Perlis menegaskan prinsip keselamatan makanan perlu dipatuhi untuk kesihatan mangsa banjir dan menghargai usaha sukarela masyarakat setempat.


MAIPs dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia sejajar dengan konsep Pengurusan Bencana Berasaskan Komuniti dengan peruntukan khas daripada majlis agama itu.

"Pihak pengurusan masjid dan rumah amil dengan sokongan seluruh kariah telah berganding bahu mengadakan gotong-royong menyediakan juadah tambahan untuk mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang memerlukan di seluruh negeri.

"Usaha ini diketuai oleh jawatankuasa masjid dan para jemaah yang berkhidmat secara sukarela tanpa mengira masa dalam menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam kepada mangsa terbabit," menurut MAIPs.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah tiada kompromi terhadap aspek keselamatan dan kebersihan makanan meskipun ketika krisis.

Baginda menegaskan prinsip keselamatan makanan termasuk lokasi penyediaan, tempat memasak, kebersihan peralatan, pengendalian bahan mentah, suhu masakan serta kaedah pembungkusan tetap perlu dipatuhi walaupun penyediaan makanan dilakukan secara tergesa-gesa.

Hal itu titah baginda bagi memastikan kesihatan mangsa banjir terpelihara dan mengelakkan risiko keracunan makanan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada anak-anak kariah di semua masjid yang terlibat dan berharap usaha murni itu terus diperkukuh serta menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak.

"Semangat kesukarelawanan dan kebersamaan yang ditonjolkan oleh kariah masjid dan masyarakat setempat bukan sahaja mengurangkan tekanan yang dihadapi mangsa malah mengukuhkan ukhuwah dan memperlihatkan kekuatan komuniti ketika berdepan dugaan," titah baginda.

-- BERNAMA


#MAIPs #mangsa banjir #mati lemas #keracunan makanan