ISTIADAT PERNIKAHAN DIRAJA | Raja Muda Selangor bakal melangsungkan pernikahan pada 2 Oktober ini
MALAYSIA

Dapur pawagam GSC IOI City Mall, Resort City Putrajaya terbakar

Umavathi Ramayah 20/09/2025 | 07:45 MYT
Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.08 pagi sebelum jentera tiba di lokasi 16 minit kemudian. - Gambar Facebook GSC
KUALA LUMPUR : Dapur pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) IOI City Mall, Resort City Putrajaya, di sini musnah kira-kira 30 peratus akibat kebakaran yang berlaku pagi Sabtu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.08 pagi sebelum jentera tiba di lokasi 16 minit kemudian.

"Api bagaimanapun berjaya dipadamkan sebelum pasukan bomba tiba. Kebakaran itu berlaku di tingkat tiga bangunan berkenaan dengan keluasan anggaran 56 meter persegi dan hanya melibatkan dapur," katanya dalam kenyataan, di sini pada Sabtu.

Ahmad Mukhlis menegaskan, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Sementara itu, GSC dalam kenyataan di media sosial memaklumkan semua tayangan di pawagam berkenaan kembali beroperasi seperti biasa selepas ditangguhkan sementara pagi tadi.

Pihak pengurusan menjelaskan, langkah penutupan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselesaan serta keselamatan para pengunjung.

Terdahulu, GSC mengumumkan tayangan di panggung berkenaan dibatalkan sehingga diberitahu kelak bagi memberi ruang kepada pihak pengurusan menangani keadaan.

Pelanggan yang membeli tiket secara dalam talian dimaklumkan akan menerima bayaran balik secara automatik dalam tempoh 14 hari bekerja, manakala pembelian terus di kaunter boleh menuntut pemulangan dalam tempoh dua minggu.




#bomba #pawagam terbakar #kembali beroperasi #GSC terbakar