KUALA LUMPUR: Kamarazaman Yaacob dan Koh Swe Yong merupakan antara anak muda yang memasuki alam universiti ketika Malaysia masih berada pada fasa awal pembentukan sebagai sebuah negara merdeka.
Kedua-duanya menuntut di Universiti Malaya (UM) pada awal 1970-an, ketika kampus menjadi ruang mahasiswa membincangkan bukan sahaja persoalan pendidikan, tetapi juga kemiskinan, ketidakadilan sosio ekonomi dan perkembangan politik dunia.
Kamarazaman pernah memimpin Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), manakala Koh merupakan pelajar Fakulti Sains yang aktif dalam Persatuan Bahasa Tionghua atau Chinese Language Society (CLS).
Ketika mahasiswa mengurus kampus sendiri
Pada awal 1970-an, persatuan mahasiswa mempunyai ruang yang luas untuk menentukan perjalanan organisasi, termasuk mengutip yuran keahlian, mengurus kewangan dan menggerakkan program sendiri.
PMUM ketika itu juga mempunyai perkhidmatan bas untuk kegunaan pelajar, sekali gus menggambarkan kedudukan mahasiswa sebagai sebahagian penting daripada kehidupan universiti.
“Pada zaman saya, mereka masih menghargai aktivis dan persatuan,” kata Kamarazaman menerusi Laporan Khas Astro AWANI semalam.
Kegiatan persatuan pula tidak terbatas kepada kebajikan pelajar. CLS misalnya menggunakan pementasan kebudayaan untuk mengetengahkan kehidupan nelayan, petani, pekerja ladang nanas dan penjaja.
“Ini mengenai kehidupan nelayan di Pantai Timur dan bagaimana susahnya kehidupan mereka. Mereka diperas oleh orang tengah,” kata Koh.
“Begitu juga petani, pekerja ladang nanas dan penjaja. Semuanya berkaitan dengan kehidupan rakyat dan merentas semua kaum,” katanya.
AUKU dan perubahan selepas 1975
Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) diperkenalkan ketika gerakan mahasiswa sedang berkembang sebagai satu kuasa sosial yang berpengaruh dalam membincangkan persoalan rakyat.
Bagaimanapun, pindaan akta itu pada 1975 dilihat sebagai titik yang mengubah kedudukan mahasiswa serta hubungan mereka dengan pihak pentadbiran universiti.
“Selepas pindaan 1975, kepimpinan dan mahasiswa mula dilihat sebagai pihak yang menimbulkan masalah serta pelbagai perkara negatif,” kata Kamarazaman.
Pindaan tersebut turut menandakan penyusutan autonomi organisasi mahasiswa apabila urusan kewangan dan kegiatan mereka mula diletakkan di bawah kawalan pentadbiran universiti.
Aktivisme melangkaui tembok universiti
Sebelum ruang gerakan itu semakin mengecil, mahasiswa UM aktif membawa persoalan rakyat ke dalam kampus dan perhatian umum.
Antara isu yang diperjuangkan ialah nasib penduduk setinggan Tasik Utara, kemiskinan di Baling, kebajikan pekerja serta perkembangan antarabangsa termasuk perang Arab-Israel.
“Kita memberi kesedaran kepada rakyat bahawa perjuangan mahasiswa ini bukan terikat dengan mana-mana kepentingan politik,” kata Kamarazaman.
“Kita sebahagian daripada masyarakat, jadi kita terus berjuang,” katanya.
Pengalaman Koh dalam CLS pula menunjukkan bagaimana isu masyarakat boleh diketengahkan melalui bahasa, kebudayaan dan kesenian.
Walaupun persatuan itu berlatarbelakangkan bahasa Tionghua, persoalan yang dibawa merangkumi kesusahan rakyat daripada pelbagai kaum.
Aktivisme berakhir dengan tahanan ISA
Gelombang aktivisme mahasiswa akhirnya berhadapan tindakan lebih keras, khususnya selepas demonstrasi Baling pada 1974.
Sejumlah aktivis mahasiswa ditahan di bawah ISA, termasuk Kamarazaman dan Koh.
Koh bermula dengan 60 hari dalam tahanan polis sebelum dipindahkan ke beberapa pusat tahanan. Beliau turut mendakwa mengalami kekerasan ketika disoal siasat.
“Sebenarnya boleh dikatakan diseksa dan dianiaya. Saya ditumbuk dan dipukul menggunakan hos getah di belakang,” katanya.
Bagi Kamarazaman, pengalaman dalam tahanan tidak memadamkan pemikiran dan keyakinan yang terbentuk sejak zaman kampus.
“Tempat tahanan perlindungan tidak boleh mengubah pemikiran seseorang tahanan. Kem tahanan tidak melunturkan pemikiran kami,” kata Kamarazaman.
Pemansuhan AUKU: Apa yang akan berubah?
Lebih lima dekad kemudian, pengalaman kedua-duanya kembali relevan susulan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan AUKU pada 15 Ogos lalu dan membuka kembali persoalan mengenai bentuk kebebasan yang perlu diberikan kepada mahasiswa.
Kamarazaman mengakui mahasiswa hari ini mempunyai kebebasan individu lebih luas, termasuk menyertai parti politik, memegang jawatan dan menjadi calon pilihan raya.
Namun, autonomi tidak seharusnya terhenti pada kebebasan individu, sebaliknya perlu turut diberikan kepada organisasi mahasiswa.
“Kalau memberi kebebasan kepada organisasi pelajar, maka pelajar dibenarkan mengutip wang sendiri, mempunyai akaun sendiri dan mengadakan aktiviti yang tidak ditentukan oleh pihak canselori,” kata Kamarazaman.
Pada masa sama, kebebasan itu tidak bermaksud mahasiswa atau persatuan mereka terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya melakukan kesalahan.
“Kalau berlaku rasuah dalam pentadbiran, tangkap dan bawa ke muka pengadilan,” katanya.
Koh pula memilih untuk menunggu bentuk undang-undang atau kerangka yang akan menggantikan AUKU sebelum menilai sama ada pemansuhan itu membawa perubahan sebenar.
“Kalau AUKU dihapuskan tetapi ada satu lagi akta pendidikan tinggi yang dibuat tanpa melibatkan pelajar, kita perlu melihat bagaimana pelaksanaannya,” katanya.
“Kalau masih ada sekatan lain, kita perlu menilai sama ada benar-benar berlaku perubahan,” katanya.
Selepas hampir tujuh dekad Merdeka, persoalannya bukan lagi sekadar sama ada mahasiswa dibenarkan bersuara.
Lebih penting, adakah mereka diberikan ruang untuk berfikir secara mandiri, berbeza pandangan dan mengurus kebebasan secara bertanggungjawab?
Jawapan kepada persoalan itulah yang akan menentukan sama ada pemansuhan AUKU benar-benar mampu membuka jalan menuju sebuah kampus merdeka.
Di mata pengkritik, pemansuhan AUKU mungkin dilihat sekadar membuka ruang kepada lebih banyak protes jalanan.
Namun, implikasinya jauh lebih besar apabila dunia akademik berpeluang menjadi ruang yang bebas daripada tekanan politik dan kepentingan pemodal, sekali gus membolehkan mahasiswa menyumbang idea serta mencorakkan hala tuju pembangunan negara.