Dari bilik darjah desa ke pentas dunia, tiga murid Orang Asli raih emas robotik antarabangsa

Kejayaan tiga pelajar SK Pengkalan Tereh ini cukup membanggakan dan membuka mata ramai tentang potensi hebat anak-anak Orang Asli. - Bernama
SEPANG: Tiga pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tereh, Kluang, Johor mengharumkan nama negara di persada antarabangsa, apabila merangkul pingat emas Kategori Idea Kreatif (Tingkatan Rendah) pada Olimpiad Robot Antarabangsa ke-27 (IRO 2025) di Gold Coast, Australia.
Kejayaan itu dicapai menerusi ciptaan robot "rover", yang direka untuk mengkaji permukaan Marikh, sekali gus menewaskan pasukan dari 15 negara lain dalam pertandingan berprestij berkenaan.
Guru pengiring pasukan Muhammad Fakhri Che Lah berkata kejayaan tersebut di luar jangkaan tersebut, merupakan hasil persediaan rapi yang dilakukan murid-muridnya sepanjang tahun ini.
"Persediaan dibuat melalui latihan berterusan di sekolah, dengan murid-murid membangunkan pelbagai reka bentuk robot berdasarkan tema angkasa, sebelum memilih reka bentuk paling sesuai semasa pertandingan," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini setelah pulang ke tanah air hari ini.
Ahli pasukan itu Vyonnie Jezzy James Marcel, 12, berkata beliau tidak menyangka pasukannya dapat muncul juara, kerana tugasan pertandingan memerlukan beliau dan rakan-rakannya bertindak pantas dan tepat.
"Ada susah, ada senang. Masa yang diberi empat jam, tetapi dalam tiga jam setengah kami dapat siapkan robot tu....Kami menggunakan dua sensor iaitu high screen line dan juga ultrasonic," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembelajaran dan Pusat Satelit Petrosains Norhana Hamim berkata kejayaan tersebut membuktikan keberkesanan pendekatan inklusif Petrosains Tech4All, dalam memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
"Apa yang kita saksikan hari ini ialah kejayaan yang sangat-sangat bermakna...ini menunjukkan keberkesanan program ini apabila anak-anak ini diberikan platform yang betul, program yang bertepatan dengan latar belakang mereka," katanya.
Beliau berkata pencapaian itu turut menolak stigma bahawa pelajar Orang Asli tidak mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.
Kontinjen Malaysia ke IRO 2025 membabitkan 15 pelajar Orang Asli daripada lima sekolah rendah dan turut membawa pulang pingat gangsa serta tiga Anugerah Teknikal hasil kerjasama strategik antara Petrosains, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Offshore Petroleum Industry Training Organisation (OPITO).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


