DREBAR

Dari Detroit: Mercedes E-Class baharu (W213)

Astro Publication 11/01/2016 | 23:09 MYT

Semalam, Mercedes-Benz telah melancarkan model E-Class mereka yang terbaharu di pameran kereta Detroit, Amerika Syarikat. Model generasi ketujuh ini seperti biasa akan bertindak sebagai pesaing utama kepada model-model seperti BMW 5-Series dan Audi A6. Kali ini, Mercedes nampaknya akan menggunakan teknologi terkini sebagai senjata utama.
Namun begitu, rekaan baharunya juga pasti akan menjadi sandaran. Penggayaan Mercedes yang lebih moden – dan sebelum ini kelihatan begitu menawan pada C-Class dan S-Class terkini – juga diadaptasi ke kerangka E-Class (W213) dengan jayanya. Pada pandangan kami, rekaan bahagian belakang adalah yang paling menonjol; bampar dan muncung ekzos yang begitu kemas dan barisan lampu belakang menampakkan satu imej yang anggun.
Enjin
Dalam barisan enjin yang ada, Mercedes telah berjaya menghasilkan sebuah unit yang serba baharu – pembakar diesel empat silinder 2.0-liter diperbuat sepenuhnya daripada aluminium. Dengan sebuah turbo boleh-laras, ia menghasilkan 192hp dan tork sebanyak 400Nm. Pecutan 0-100km/j bagi varian ini adalah 7.3 saat.
Sebagai sebuah diesel kadar pembakaran bahan apinya memang cemerlang iaitu 3.9 liter setiap 100km.
Ada juga enjin diesel 3.0-liter bagi varian E350d dengan 258hp/620Nm.
Pilihan enjin petrol didukung oleh unit empat silinder 2.0-liter yang menjana output sebanyak 184hp dan 300Nm. 0-100km/j dicapai dalam masa 7.7 saat seiring dengan kecekapan 5.9 liter/100km.

(Klik untuk galeri penuh)

Mercedes akan menambah lagi variasi model menggunakan kedua-dua enjin ini dalam jangka masa terdekat, termasuk sebuah hibrid ‘plug-in’ E350e. Ia mampu untuk bergerak semata-mata menggunakan motor elektrik bagi jarak sejauh 30km. Apabila cas bateri telah habis, pacuan akan datang daripada enjin petrol empat-silinder; apabila kedua-dua sumber tenaga ini bekerja serentak output tork E350e ini adalah setinggi 710Nm.
Kotak gear yang digunakan pula adalah automatik 9-kelajuan (9G-Tronic), iaitu salah satunya transmisi yang ada buat masa ini.
Sistem ‘Drive Pilot’
[‘Drive Pilot’ adalah salah satu ciri di dalam pakej ‘Driver Assistance’, dan ia adalah pilihan tambahan yang boleh dibuat pembeli]
Mengikut Mercedes, sistem ini antara yang menjadikan pemanduan autonomous semakin hampir. Antaranya adalah ciri cruise control aktif yang membolehkan anda mengikut kereta di hadapan pada satu jarak selamat yang ditetapkan sehingga kelajuam 210km/j. Drive Pilot juga terdiri daripada Steering Pilot – sistem boleh memutar stereng dengan sendiri untuk mengambil selekoh tidak tajam.
Juga untuk mengurangkan beban kepada pemandu, ‘Speed Limit Pilot’ bertindak untuk mengawal kelajuan kenderaan secara automatik berdasarkan maklumat daripada navigasi satelit. Antara maklumat diambil kira adalah kamera had kelajuan; papan tanda kelajuan juga boleh dibaca yang seterusnya mempengaruhi tindakan sistem kereta.
Kabin
Di dalam Mercedes W213 ini dilihat sebuah papan pemuka yang sangat moden dan canggih. Skrin di tengah-tengah mendominasi perhatian, tetapi anda juga boleh memilih untuk menukar panel instrument biasa kepada yang elektronik. Panel ini kemudian boleh dilaras mengikut keadaan berbeza – Classic, Sport dan Progressive.
Berbeza dengan kaedah menekan pada skrin sentuh, kawalan bagi pilihan input pada E-Class baharu ini adalah melalui ‘thumbpad’ yang terletak pada atas stereng. (‘Thumbpad’ sebelum ini banyak digunakan pada peranti Blackberry)

(Klik untuk galeri penuh)

# # E-Class # W213 #Mercedes