Dari gelanggang karate, dunia kewartawanan ke medan PDRM: Dua Inspektor baharu kongsi cabaran, semangat

Shree Sharmini Segaran (kanan) dan Nur Azmi Nordin adalah antara 345 Inspektor Percubaan yang menamatkan program latihan asas kepolisan selama sembilan bulan di Pulapol. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Siapa sangka, pengalaman menulis berita jenayah dan bertarung di gelanggang karate akhirnya membawa dua individu ini ke medan baharu, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bekas atlet kebangsaan karate, Inspektor Percubaan Shree Sharmini Segaran berkata, disiplin dan ketabahan di gelanggang menjadi bekalan utama sepanjang sembilan bulan latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.
Menurutnya, pengalaman dalam sukan karate banyak mengajarnya tentang disiplin dan semangat juang, malah setiap kali berdepan dengan cabaran ketika latihan, beliau akan mengingat kembali detik di gelanggan yang menuntutnya untuk tidak mudah menyerah.
"Dalam karate, saya belajar tentang disiplin dan semangat juang. Setiap kali saya rasa nak putus asa dalam latihan, saya akan ingat bagaimana saya berlawan di gelanggang... tidak boleh menyerah," katanya ketika ditemui selepas majlis Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Inspektor Percubaan di Pulapol, di sini pada Jumaat. Saharmini yang sebelum ini bertugas sebagai anggota polis mengakui perjalanan ke pangkat inspektor bukan mudah, terutama apabila perlu bersaing dengan peserta muda.
"Sebagai anggota berusia 30-an, saya perlu bersaing dengan calon berumur 20-an. Tapi saya ambil cabaran itu sebagai motivasi untuk buktikan kemampuan diri,” katanya yang juga berterima kasih kepada jurulatih, rakan serta pegawai atasan atas sokongan mereka.
Atlet yang pernah mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa itu turut menzahirkan penghargaan kepada majikan terdahulu yang banyak memahami komitmennya terhadap sukan dan kerjaya.
"Pegawai-pegawai atasan saya dulu banyak beri ruang untuk saya berlatih. Bila masuk dunia kepolisan (Inspektor Percubaan), saya mahu bawa semangat sama, fokus, disiplin dan tidak mudah menyerah,” katanya lagi.
Berbeza pula kisahnya dengan, Inspektor Percubaan Nur Azmi Nordin, bekas wartawan meja jenayah, Kosmo!, yang tidak pernah terlintas di fikiran untuk menyarung uniform biru.
Namun, takdir membawanya ke arah itu selepas sering berurusan dengan pihak polis ketika bertugas di meja jenayah.
"Saya mulakan kerjaya sebagai wartawan dan tidak pernah terfikir untuk menjadi polis. Tapi selepas ditempatkan di meja jenayah, saya semakin rapat dengan PDRM dan mula memahami pengorbanan mereka," katanya.
Tambahnya, figura bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Yusof, banyak membuka matanya tentang erti ketekunan dan amanah.
"Saya kagum dengan semangat Datuk Seri yang tidak pernah penat memberi nasihat kepada masyarakat. Dari situ saya sedar, PDRM memainkan peranan besar dalam memastikan keselamatan negara," ujarnya.
Menurut Nur Azmi, peralihan kerjaya daripada dunia media kepada dunia kepolisan bukanlah mudah, malah dua bulan pertama di pusat latihan menjadi antara tempoh paling mencabar dalam hidupnya.
“Ada masa saya rasa nak putus asa. Tapi keluarga, rakan dan bekas rakan media terus beri semangat. Hari ini, semua penat lelah itu berbaloi,” katanya yang berhasrat bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
Kedua-dua mereka kini berazam meneruskan perjuangan dalam pasukan PDRM dengan menjadikan integriti dan semangat juang sebagai asas setiap tanggungjawab yang dipikul.
“Apa jua cabaran, kami akan pastikan amanah rakyat dan negara menjadi keutamaan,” ujar mereka senada.
Shree Sharmini dan Nur Azmi adalah antara 345 Inspektor Percubaan yang menamatkan program latihan asas kepolisan selama sembilan bulan di Pulapol pada Jumaat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami