Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini sebak tatkala mengimbau kisah hidupnya suatu ketika dahulu.

Berkongsi kisah menjadi isteri kepada timbalan perdana menteri yang kemudian menjadi banduan, Dr Wan Azizah bersyukur kerana dikelilingi kelompok masyarakat yang penyayang dan bertimbang rasa.

"Pada satu ketika, saya bersyukur kerana menjadi isteri kepada timbalan perdana menteri, hingga menjadi isteri kepada banduan.

"Jiran-jiran, saya tidak begitu mengenali mereka. Anda tahu bagaimana hidup bermasyarakat pada ketika ini. Mereka (jiran) datang (ke rumah), tengok peti sejuk, pastikan ada makanan yang cukup di atas meja.

"Saya sangat tersentuh. Walaupun ia lama berlaku, saya ingin berkongsinya kerana saya sangat tersentuh terutama sebagai seorang ibu," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kod QR untuk 30 badan amal dengan Penggunaan Aplikasi E-Dompet Boost, di sini, hari ini.

Mengulas berkenaan penyaluran bantuan, sumbangan dan keprihatinan, Dr Wan Azizah berkata sikap terpuji itu tidak harus dilakukan bermusim sebaliknya sepanjang masa.

"Bagaimanapun, tidak perlu tunggu krisis atau darurat untuk menyalurkan bantuan.

"Kita juga tak perlu tunggu musim perayaan, bulan Ramadan atau Hari Raya untuk memenuhi tuntutan zakat bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik," katanya.