Dari Mavi Marmara ke GSF: Kekejaman Israel lahirkan generasi perlawanan - Ashwad

Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail mengambil contoh pengalamannya berdepan serangan tentera Israel ketika bersama misi bantuan kemanusian diketuai kapal MV Mavi Marmara milik Yayasan İHH Humanitarian Relief Foundation. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tindakan kejam rejim Zionis Israel terhadap misi bantuan kemanusiaan menuju ke Gaza tidak akan menggentarkan orang ramai sebaliknya akan melahirkan kesedaran dalam kalangan generasi muda.
Ringkasan AI
- Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail berkata kekejaman Israel tidak mematahkan semangat kemanusiaan sebaliknya meningkatkan kesedaran generasi muda termasuk Gen Y dan Gen Alpha.
- Beliau menegaskan protes berterusan dan solidariti global penting untuk menentang kekejaman Israel serta membentuk pandangan dunia terhadap keadilan.
- Berdasarkan pengalamannya dalam tragedi Mavi Marmara, Ashwad menyifatkan tindakan Israel sebagai -psikologi perampas- yang menolak kemanusiaan dan terus menindas rakyat Palestin.
Ashwad turut berpandangan tragedi pembantaian ke atas warga Gaza sejak 7 Oktober 2023 telah memberi kesedaran kepada golongan kanak-kanak dalam kategori Generasi Alpha (2010-2024) mengenai tindakan rejim itu.
“Anak saya berusia sembilan tahun dan rakan-rakannya juga bercakap mengenai benda yang paling jijik adalah nama Israel.
“Sembilan tahun dari sekarang, gen alpha seluruh dunia mula masuk ke alam membuat keputusan menjadi pemimpin,” katanya semasa bercakap dalam program audiosiar The Tiger Show yang dihoskan oleh wartawan Amin Iskandar.
Ashwad menekankan, kesedaran yang terbentuk daripada pengalaman dan pendedahan kepada tragedi seperti di Gaza berpotensi mengubah corak pemikiran global terhadap keadilan dan kemanusiaan.
Dalam konteks itu, beliau menegaskan pentingnya protes dan tindakan berterusan dalam menyuarakan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan rejim Zionis.
“Selagi kita meneruskan protes dan menzahirkan aksi menentang kekejaman ini di seluruh dunia, kesedaran itu akan terus berkembang, apatah lagi dengan pengaruh dunia digital hari ini,” katanya.
Untuk rekod, tragedi Mavi Marmara pada 31 Mei 2010 mengorbankan 10 aktivis pro-Palestin warga Turki dan mencederakan puluhan yang lain, apabila komando tentera laut Israel menyerbu kapal itu di perairan antarabangsa.
Ashwad bersama sukalerawan lain ditahan hampir lima hari di di penjara Be’er Sheva, selatan Israel.
Misi kemanusiaan sekali lagi menjadi perhatian global apabila delegasi sukarelawan Global Sumud Flotila dan Freedom Flotila Coalition telah ditangkap oleh Israel pada minggu lalu dan ditahan di Penjara Ketziot selama tiga hari dua malam.
Beliau menyifatkan pendekatan Israel itu sebagai “psikologi perampas” yang berpaksikan ketakutan dan kekerasan.
“Ini psikologi seekor perampas. Mereka bertindak seolah-olah sesiapa sahaja yang datang untuk membantu mesti dilawan atau dibunuh. Sejak 2007 lagi, daripada Free Gaza Movement hingga ke hari ini modus operandi mereka tetap sama,” katanya lagi.
Tambah Ashwad, keganasan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin, termasuk warga tua dan golongan muda, menggambarkan bagaimana Israel masih terperangkap dalam mentaliti perampas yang menolak sebarang bentuk kemanusiaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami