Darjah Kebesaran Negeri Sembilan Pengarah Urusan Ritz Corporate Holding Berhad ditarik balik

Bernama
Januari 31, 2020 02:31 MYT
Mesyuarat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan pada Rabu lepas diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah. Foto Bernama
Mesyuarat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan yang berlangsung pada Rabu lepas memutuskan pengurniaan darjah kepada Pengarah Urusan Ritz Corporate Holding Berhad, Ibrahim Yahaya ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.
Pendaftar Darjah, Datuk Dr Razali Ab Malik dalam kenyataan hari ini berkata ia membabitkan pengurniaan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (D.B.N.S) yang membawa gelaran Datuk kepada Ibrahim pada 14 Jan lepas.
Katanya mesyuarat tersebut telah diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
"Keputusan ini bertujuan menjaga kebesaran dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan," kata Razali.
Semalam, Pejabat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menafikan dakwaan dibuat oleh Ritz Corporate Holding Berhad yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir adalah penaung syarikat berkenaan.
Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Mohd Nizam Mohd Akhir dilapor sebagai berkata, syarikat berkenaan yang beralamat di 55-12A-H, Menara Northam, Jalan Sultan Ahmad Shah, George Town, Pulau Pinang, tidak pernah memohon perkenan baginda untuk menjadi penaung syarikat tersebut.
-- BERNAMA
#darjah kebesaran #Darjah Setia Bakti #gelaran Datuk #Mohd Nizam Mohd Akhir #Negeri Sembilan #penaung syarikat #pengarah urusan #Razali Ab Malik #Ritz Corporate Holding Berhad #tarik balik #Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir